Rencana

Melaka banyak perigi, tapi jangan jatuh dalam perigi buta

PENGUNDI dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sedang menilik-nilik parti manakah jadi pilihan mereka. Calon-calon pula sedang memperagakan parti masing-masing ikut kaedah kempen normal baharu.

Jika hendak pilih parti berwarna biru, hati-hati dan tilik dengan teliti, sebab ada dua parti yang berwarna biru. Jadi, jangan sekali-kali terpedaya dan menganggap mereka pelanduk dua serupa.

Parti warna biru yang pertama memang dikenali ramai. Tetapi, ia juga terkenal dengan pelbagai dongeng yang diperkatakan oleh banyak pihak, bukan sahaja di Melaka, malah di merata dunia.

Parti warna biru yang kedua dijelmakan menerusi PRN Sabah pada September 2020. Abah selaku pembesar utamanya, ialah panglima yang memerangi ancaman Covid-19 demi nyawa dan kehidupan rakyat semua bangsa.

Ketika Abah meletakkan jawatan Perdana Menteri pada Ogos lalu, ramai ibu dan kakak serta kita mencucurkan air mata duka sebab beliau dianiaya dan dikhianati.

Jangan ditanya siapa pembawa angkara tersebut. Kita sudah tahu siapa mereka. Namun, mereka juga didakwa bermain kayu tiga dengan parti berwarna merah yang kini sedang menggoda pengundi Melaka. Betul atau tidak, hanya Allah S.W.T sahaja yang maha mengetahuinya!

Tetapi, memang ada pemimpin parti berwarna merah pernah berkata: Abah digulingkan sebagai ‘hukuman’ kerana membawa Bersatu keluar dari Pakatan Harapan (PH). Rujuk kenyataan pemimpin ini dalam Malaysia.news.yahoo, 16 Ogos 2021.

Bagaimanapun, mereka enggan berterus-terang, PH pernah didakwa meminggirkan Peribumi dan Muslim dalam pemerintahannya. Abah bawa Bersatu keluar dari PH sebab agenda Pribumi-Muslim sukar dilaksanakan dalam pemerintahan tersebut.

Jadi, Abah bawa Bersatu keluar dari PH untuk perjuangkan maruah serta masa depan Pribumi dan Muslim menerusi Perikatan Nasional (PN). Ini sebabnya PAS turut menyertai PN. Dan, ini juga sebabnya PH menanam dendam kesumat terhadap PN.

Tetapi, jangan salah sangka yang PN hanya berjuang untuk Peribumi dan Muslim. PN berjuang untuk semua rakyat Malaysia. Sebab itu, PN pun mempunyai calon kaum Tionghua dalam PRN Melaka.

Bezanya PN dengan PH banyak. Antara yang utama, dalam PH ada parti yang tidak mengiktiraf Pribumi sebagai anak watan Malaysia.

Parti berkenaan menentang wujudnya Bumiputera dan bukan Bumiputera di negara ini sejak penubuhannya pada awal tahun 1960-an. Sebab itu ada pemimpinnya yang tersalah cakap, kononnya Bumiputera atau Pribumi adalah bangsa pendatang.

Biarpun dia sudah meminta maaf, dolak-dalik mengenai perkara ini pernah disuarakan oleh Lee Kuan Yew pada tahun 1965 hingga mencetuskan kemarahan Pribumi yang amat sangat pada tahun tersebut.

Kesimpulannya, PRN Melaka kali ini merupakan medan ujian kepada kebijaksanaan pengundi untuk memilih dengan mata hati, parti manakah dan calon manakah pilihan masing-masing.

Pilih parti yang benar-benar tulus dan pilihlah calon yang benar-benar ikhlas. Usah pilih parti yang boleh membawa seribu satu petaka dan mungkin kehancuran kepada Melaka dan rakyat jelatanya.

Lantas, sama-samalah insaf bahawa perkataan tulus dalam Kamus Dewan, ertinya adalah “ikhlas, lurus hati, jujur, terus terang, dan bersih hati atau suci hati”.

Akhir kata, pilihlah parti dan calon secara bijaksana: Paduka berangkat naik pedati, membuka bahtera kajang sulaman; Jika diangkat parti suci hati, Melaka sejahtera sepanjang zaman. Silih berganti naik pedati, menyisir arus sambil bersantai; pilih parti yang suci hati, pasir terus merias pantai!

Tulisan Ruhanie Ahmad

Dipetik dari Bebasnews

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button