Nasional

Melaka bakal bentang RUU anti lompat parti – Sulaiman Md. Ali

Kerajaan negeri Melaka bakal membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No 3) berkaitan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti yang diluluskan di Dewan Rakyat semalam.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, jika Parlimen sudah meluluskan tidak ada masalah buat kerajaan negeri pula mengikut jejak langkah untuk membentangkan RUU itu pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak lama lagi.

Menurutnya, RUU anti lompat parti itu adalah antara yang terkandung dalam manifesto Barisan Nasional (BN) sewaktu menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Bagaimanapun katanya lagi, RUU itu akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum dibawa ke Sidang DUN nanti.

“Kerajaan negeri telah bersedia untuk membentangkan RUU anti lompat parti kerana itu janji BN jika memenangi PRN Melaka.

“Kita hanya menunggu RUU itu diluluskan terlebih dahulu di Dewan Rakyat apabila telah lulus kerajaan negeri pula akan membawa usul ini dalam Sidang DUN yang akan datang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Negeri Melaka Sidang 2 Penggal ke-33 Tahun 2021-2022 di Hotel Muzaffar di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, VP Shanmugan; Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Mohd. Azhari Mohammad; Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM), Datuk Ridhwan Ali dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Melaka, Khairul Adri Rosli.

Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No 3) berkaitan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti diluluskan di Dewan Rakyat semalam.

Ia diumumkan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun selepas pengundian belah bahagi dijalankan.

Sejumlah 209 ahli Parlimen menyokong RUU berkenaan yang antara lain boleh menyebabkan seseorang ahli Parlimen hilang kerusi dimenanginya jika wakil rakyat itu bertukar parti.

RUU itu juga memansuhkan larangan bertanding selama lima tahun terhadap mereka yang meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen.

Sebanyak 11 orang ahli Parlimen tidak hadir manakala 54 orang terbabit dalam perbahasan selama dua hari itu. – SM

(Visited 203 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button