Media arus perdana jangan terbawa-bawa perangai medsos
SAYA tidak tahu apa yang berlaku antara Menteri Komunikasi dengan Berita Harian, kerana saya tidak terlibat dan tidak berminat membuat andaian.
Bagaimanapun saya akui hantaran ke Facebook Berita Harian agak mendebarkan jika tidak dibaca isinya.
Sebagai anggota kabinet dalam kerajaan yang telah empat bulan mengambil-alih tampuk kepimpinan Fahmi Fadzil berdepan dengan tekanan.
Bukan mudah untuk memenuhi harapan masyarakat terhadap kerajaan baharu yang dibentuk atas kerja sama Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN) serta parti-parti dari Sabah dan Sarawak.
Di dalam gabungan itu terdapat parti DAP dan UMNO yang belum dapat menserasikan diri.
Dalam usaha mengekalkan kestabilan politik, kerajaan juga perlu memulihkan ekonomi negara yang terkesan akibat pandemik Covid-19 tempoh hari.
Tajuk berita yang menyemarakkan api kemarahan rakyat akan segera menjadi tular dan pastinya menjejaskan persepsi masyarakat kepada kerajaan.
Tindakan Fahmi menegur secara terbuka memang jarang berlaku terhadap media, tetapi ia satu tindakan yang berani demi membetulkan segera tajuk yang menyeramkan itu.
Berita Harian dikendali oleh sahabat-sahabat saya yang profesional, cuma kadangkala kita terbawa-bawa cara media sosial yang menjejaskan kualiti jurnalistik dan etika kewartawanan.
Media arus perdana perlu mempunyai integriti dan tidak cuba menjadi media picisan dan kemarukan klik dengan menggunakan tajuk yang mengumpan pembaca.
Kita semua faham bahawa masyarakat dewasa ini lebih gemar membaca tajuk dan ia sudah menjadi norma hidup dan sebati sukar diubah kerana pengaruh ledakan media sosial.
Saya bersyukur babak mendebarkan itu selesai dengan baik dan menjadi iktibar kepada saya serta rakan-rakan yang lain.
Selain belajar menerima teguran, media harus berperanan lebih besar untuk meredakan kebencian terhadap kerajaan.
Kerajaan sukar berfungsi dengan baik jika setiap saat berdepan dengan serangan pelbagai pihak di media sosial dan media tradisional.
Kerajaan ini insya-Allah akan kekal hingga tamat penggal pentadbiran, tetapi jika ia gagal kesannya akan secara langsung kena kepada kita semua.
Media sendiri akan terhimpit dan sukar untuk berkarya jika situasi ekonomi terus memburuk.