JenayahNasionalNegeri

Tiga lori kontena dari Thailand “lari cukai” ditahan

LAIN barang yang dibawa, lain pula yang diikrar di dalam borang Kastam hanya kerana hendak lari dari membayar cukai yang tinggi.

Bagaimanapun tektik tiga pemandu lori kontena bernombor pendaftaran Thailand itu telah berjaya dikesan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis.

ISMAIL HASHIM

Pengarahnya, Ismail Hashim berkata, ini kerana Kastam Cawangan Penguatkuasaan Padang Besar bersama dengan Pegawai Kastam Unit Dagangan Jalan Raya (UDJR) dan Unit Mesin Pengimbas mengesyaki sesuatu bagi menjalankan pemeriksaan lebih rapi.

“Penggunaan mesin pengimbas di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQs) Padang Besar telah berjaya membongkar kegiatan lari cukai ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Sekaligus katanya ia membawa kepada penemuan 400 unit alat ganti kenderaan, 1,105 unit aksesori kenderaan, 2,080 helai pakaian dan 6,840 pasang kasut.

Katanya, barang yang diimport dari negara jiran ini menggunakan dokumen pengikraran pengimportan yang dipercayai tidak diikrar dengan betul.

“Anggaran nilai barangan yang dirampas termasuk kenderaan yang disita adalah sebanyak RM264,840 dan duti serta cukai terlibat berjumlah RM 62,199 dan menjadikan jumlah keseluruhan RM 327,039,” katanya.

Katanya, ketiga-tiga pemandu lori kontena yang merupakan warganegara Thailand ditahan untuk membantu siasatan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan pengimport yang terlibat,” katanya.

Ismail menambah, modus operandi (MO) kes ini adalah dengan membuat pengikraran yang tidak benar dan mengelirukan dalam Borang Kastam 1 (K1) dengan tujuan mengelak dikenakan duti dan cukai yang tinggi.

Anggota JKDM Perlis memeriksa barang yang dimuatkan dalam lori kontena yang ditahan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1) (g) Akta Kastam 1967 iaitu kesalahan yang dalam apa-apa cara dengan disedarinya terlibat dalam apa-apa pengelakan fraud atau cuba mengelak dengan fraud apa-apa duti kastam, atau dalam pengelakan atau percubaan mengelakkan apa-apa larangan import atau eksport.

Jika sabit kesalahan pesalah boleh bagi kesalahan pertama didenda tidak kurang dari 10 kali ganda amaun duti kastam itu atau RM 50,000, amaun mana yang lebih besar, dan tidak lebih daripada 20 kali ganda amaun duti kastam itu atau RM 500,000, amaun mana yang lebih besar atau pemenjaraan selama suatu tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

“JKDM menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri agar kita bersama-sama membanteras kegiatan penyeludupan,” katanya. – SM

(Visited 239 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button