Medan Ikan Bakar Laman Brasmana Kuala Perlis ditutup 1 Ogos
MEDAN Ikan Bakar Laman Brasmana Kuala Perlis yang terkenal sebagai pusat makanan laut telah ditutup secara rasmi mulai 1 Ogos lalu.
Dalam kenyataan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) yang dimuatkan dalam Facebook (FB), sekalung penghargaan di atas komitmen para peniaga dan orang ramai yang telah memberikan sokongan serta berkunjung ke Medan Ikan Bakar ini sejak ia mula beroperasi lebih sepuluh tahun lalu untuk menjamu selera.
MPK memaklumkan sebahagian peniaga-peniaga terlibat dengan penutupan kekal Medan Ikan Bakar ini akan berpindah ke lokasi baharu iaitu di Kontena Komalaut 2 yang dikendalikan oleh Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs).
Tempat baharu ini dijangka akan memulakan operasi dalam waktu yang terdekat ini.
Ekoran penutupan ini, beberapa peniaga dan pekerja telah memuatkan status kenangan mengimbau mencari rezeki di sini di FB masing-masing.
Ini kerana Medan Ikan Bakar Laman Brasmana telah menyimpan seribu kenangan apabila ada yang sejak kecil telah berada di situ membantu keluarga berniaga di sini.
Ada yang berasa sedih kerana terpaksa berpisah dengan rakan niaga lain apabila masing-masing akan berpindah ke lokasi baharu.
Medan Selera Ikan Bakar Lama Brasmana kini akan tinggal kenangan apabila suatu masa dahulu berjaya melonjakkan nama Kuala Perlis sebagai pusat makanan laut yang murah lagi sedap di Utara Semenanjung. – SM
BACA Medan selera di R&R Machap (arah selatan) ditutup sementara
BACA 40 kucing terbiar di Medan Selera Sena diselamatkan