Berita

MDEC beri pendedahan kepada warga Kota Kinabalu dalam tingkatkan kemahiran digital

Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), agensi peneraju ekonomi digital negara di bawah seliaan Kementerian Digital (KD), Sabtu lalu menganjurkan siri program Jelajah Saya Digital (JSD) bersempena program
Sabah Education Tech 2024 (SET 2024) bertempat di Sabah International Convention Center (SICC) selama tiga hari bermula pada 2 hingga 4 Ogos dengan anggaran pengunjung seramai 2,500 orang.

Kempen Saya Digital diperkenalkan pada akhir tahun 2020 bagi membantu meningkatkan kemahiran digital rakyat Malaysia dalam mendepani ekonomi digital.

Inisiatif ini juga sebagai satu usaha dalam mendayaupayakan rakyat untuk menangani kos sara hidup, selaras dengan aspirasi kerajaan negeri Sabah untuk mencapai objektif Hala Tuju Sabah Maju Jaya. Melalui visi ekonomi digital, Sabah beraspirasi untuk menjadi negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Program JSD menumpukan kepada empat teras utama iaitu Saya Digital Literasi, Saya Digital Bisnes, Saya Digital Freelance, dan Saya Digital Kerjaya di mana ia memberi manfaat kepada golongan sasaran seperti B40, graduan menganggur, warga emas, orang kelainan upaya, pelajar sekolah dan universiti, serta usahawan mikro, kecil, dan
sederhana (PMKS).

JSD telah menjelajahi ke 69 lokasi dan berjaya melatih seramai 27,154 peserta dari seluruh negara. MDEC menyasarkan seramai 40,000 peserta untuk menyertai program JSD di 31 lokasi dan ia merupakan platform terbaik untuk memperkukuhkan kemahiran digital di kalangan rakyat, termasuk usahawan. Dengan mengambil peluang yang ada, rakyat dapat memainkan peranan penting dalam perkembangan ekonomi digital negara.

Antara program di bawah JSD adalah program eUsahawan dan MyDigitalMaker. Melalui program eUsahawan, MDEC berjaya melatih seramai 564,629 pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT), pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan usahawan di seluruh negara dengan menjana jualan terkumpul melebihi RM1.26 bilion. Manakala menerusi program MyDigitalMaker, ia telah memberi impak kepada lebih 2.5 juta pelajar sekolah di seluruh negara melalui penglibatan dalam aktiviti pembuatan
digital.

Pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan sepanjang program JSD ini, termasuklah sesi perkongsian dan demonstrasi praktikal seperti teknik gerak laju pemasaran digital, robotik di dalam pendidikan serta penggunaan teknologi AI di dalam pekerjaan harian, projek DIY dan aplikasi permainan.

Artikle Berkaitan :>

MDEC latih 30,000 lagi e-usahawan, sasar jualan RM35 juta

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button