MCA selar DAP kaitkan belanjawan dengan isu perkauman
Naib Presiden MCA, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker menggesa DAP berhenti main taktik kotor menghasut emosi benci bukan Melayu
Pembentangan Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada 6 November, katanya, adalah sebuah bajet yang dibuat ketika masa sukar ekoran penularan pandemik Covid-19 yang menjejaskan ekonomi dan kesihatan semua negara, di samping pencapaian ekonomi negara yang tidak memuaskan pada tahun lepas oleh kerajaan terdahulu PH.
Namun begitu, katanya, kerajaan Perikatan Nasional telah berusaha sedaya upaya untuk memastikan rakyat masih dijaga dan usaha pemulihan ekonomi negara dapat dijalankan.
“Malangnya, terdapat segelintir pihak yang masih mahu berpolitik, malah mahu memainkan isu rasis untuk menghasut kebencian masyarakat bukan Melayu terhadap kerajaan yang kononnya rata-rata orang Melayu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, dakwaan bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa peruntukan RM 177 juta untuk masyarakat Cina dalam Belanjawan 2021 adalah 77 peratus lebih kurang daripada apa yang diperuntukkannya kepada masyarakat Cina semasa PH masih kerajaan adalah taktik kotor dan bersifat mengapikan emosi perkauman.
“Jelas sekali DAP masih lagi menangguk sokongan masyarakat Cina dengan naratif politik melampau, berbau perkauman dan mendesak sehingga sanggup menjejaskan atau merisikokan keharmonian dan perpaduan antara kaum.
“Sebagai sebuah parti yang menguar-uarkan dirinya sebagai sebuah parti untuk semua kaum, mengapa DAP harus membangkitkan isu perkauman pada masa ini walhal fokus belanjawan adalah untuk menangani pandemik Covid19 dan mengatasi implikasi negatif pada ekonomi,” kata Lian Ker.
Apabila DAP berkuasa, katanya, mereka akan menguar-uarkan diri mereka sebagai mesra Melayu dan Islam.
Sebaliknya apabila mereka hilang kuasa, kata beliau, strategi mereka akan bertukar kepada memprovokasi emosi bukan Melayu khususnya Cina dan India seakan-akan orang bukan Melayu telah dipinggirkan atau dianaktirikan.
“Mengapakah DAP sekali lagi main api emosi Cina dan India khususnya? Mengapakah DAP mempertaruhkan keharmonian antara etnik demi untuk survival politik cetek mereka pada masa negara berhadapan dengan pandemik Covid19.
“Bagaimana pula dengan komuniti Orang Asli? Cukuplah DAP menyembunyikan “talam dua muka” mereka sebenarnya di sebalik muka parti pelbagai kaum dan ikon-ikon politikus muda Melayu dalam parti mereka kalau mereka terus memperalatkan emosi bukan Melayu terhadap orang Melayu,” katanya.
Taktik kotor DAP itu, ujar beliau, bukan satu perkara baru, dan telah dimainkan sejak penubuhan DAP lagi. Setiap kali adanya pilihan raya, mereka akan mengeluarkan janji-janji manis kepada masyarakat Cina dan menyebarkan fitnah terhadap kerajaan yang majoriti Melayu untuk meraih sokongan masyarakat Cina yang dikatakan sebagai “Second Class Citizens “ hanya apabila DAP tidak berkuasa.
“Hasilnya, hubungan antara kaum menjadi semakin renggang apabila lahirnya pemimpin DAP ekstremis yang menuntut perkara atau janji yang tidak logik dan mustahil ditunaikan seperti penghapusan kategori bumiputera dalam Deklarasi Setapak mereka.
“Akibatnya, kerajaan dilihat seolah-olah menindas masyarakat bukan Melayu dan kononnya DAP lah yang prihatin dan berani memperjuangkan untuk masyarakat bukan Melayu,” katanya.
Kata Lian Ker, anehnya, mengapa pula DAP yang mempunyai majoriti ahli Parlimen terbesar di dalam Pakatan Harapan gagal melaksanakan kesemua janji-janji mereka kepada masyarakat Cina dan bukan Melayu semasa mereka berada di dalam kerajaan?
“Ini kerana DAP sedar bahawa tuntutan mereka tidak logik dan mampu merosakkan asas pemupukan perpaduan dan keharmonian antara kaum. Ini sekaligus menunjukkan DAP sebagai satu parti yang menangguk dalam air keruh politik perkauman walaupun mereka mengaku kononnya parti DAP adalah parti majmuk. DAP haruslah hentikan janji-janji kosong mereka atau memberi naratif perkauman pada setiap keputusan kerajaan yang berlandaskan kepentingan kebangsaan.
“Pada masa krisis ini, kita haruslah menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong untuk berhenti berpolitik dan mengutamakan rakyat, dan memberi sokongan penuh kepada Belanjawan 2021 yang telahpun dibicarakan dengan semua parti termasuk pembangkang demi manfaat rakyat.
“Sudah-sudahlah DAP ! Hentikan mainan api dan emosi,” katanya.