MB Kedah santuni mangsa banjir Sungai Lui
MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor bersama Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim turun padang meninjau kerja pembersihan kesan banjir yang dijalankan oleh sukarelawan agensi kerajaan negeri dan Khidmat Malaysia Kedah di Kampung Batu 20 Sungai Lui, hari ini.
Beliau bersama Timbalan Menteri dibawa menyantuni beberapa keluarga mangsa banjir.
Sanusi menzahirkan rasa simpati dan berdukacita dengan keadaan mangsa banjir yang kerugian harta benda dan kehilangan nyawa ahli keluarga.
“Kita ada pengalaman tempias ombak tsunami beberapa tahun dulu di Kuala Muda dan terbaru banjir lumpur akibat fenomena kepala air di Gunung Jerai hampir sama seperti banjir lumpur di sini.
“Dengan pengalaman itu, kita dapat jangka berapa aset dan jumlah sukarelawan diperlukan untuk pemulihan kawasan bencana,” katanya kepada media.
Sanusi berkata, seramai 500 sukarelawan hadir membantu mangsa banjir di Sungai Lui, hari ini.
Dalam pada itu, Jamaliah Ahmad Rus, 66 berkongsi pengalamanya yang tidak sedar air banjir mulai naik dan keluarganya merupakan antara mangsa banjir yang terakhir yang meninggalkan rumah.
“Air dah mula naik di halaman rumah. Kami tengok keadaan luar rumah dengan lampu suluh sahaja disebabkan terputus bekalan elektrik. Itu yang menyebabkan kami tidak tahu air telah naik dan keadaan berbahaya.
“Orang kampung datang selamatkan makcik sekeluarga seramai lima orang ke surau. Sampai di surau, orang kampung dah ramai sekitar 40 orang penduduk kampung,” katanya.
Menurut Jamaliah, keadaan makin mencemaskan apabila air mulai naik ke ruang solat surau dan mereka terpaksa selamatkan diri di ruang bumbung surau yang lebih tinggi.
Tambahnya, mereka sekeluarga bermalam di atas bumbung sehingga air surut pada keesokan pagi. -SM