MB Kedah baharu ‘mewarisi’ Volvo kerajaan pimpinan PH
PERTUKARAN Kerajaan Negeri Kedah dari Pakatan Harapan kepada Perikatan Nasional turut menyaksikan segala bentuk kemudahan yang berikan kepada menteri besar dahulu akan dinikmati oleh menteri besar yang baru dilantik.
Antaranya Menteri Besar yang baru dilantik, Muhammad Sanusi Md. Nor akan turut menikmati penggunaan kereta rasmi menteri besar Volvo S9 T8 yang sebelum ini digunakan oleh Datuk Seri Mukhirz Tun Mahathir.
Kenderaan rasmi menteri besar itu ditukar pada Oktober 2018. Menurut Mukhriz, pembelian kereta itu dilakukan selepas membuat perniagaan tukar beli (trade-in) dengan dua kereta lama kerajaan negeri.
Kenderaan lama yang didaftarkan bawah pejabat Menteri Besar ditukar kepada Volvo S9 T8 selepas mendapati kenderaan lama tersebut rosak.
Mukhriz mempertahankan penggunaan jenama asing dengan menyatakan pemasangan komponen kereta itu dilakukan dalam negara.
Harga pasaran Volvo S9 T8 pada masa itu bernilai RM368,888 manakala S90 T8 benilai RM388,888.
Muhammad Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah ke-14 di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bagi menggantikan Mukhirz dua hari lalu.
Perikatan Nasional (PN) Kedah membentuk kerajaan negeri baharu selepas mendapat sokongan 23 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
ADUN terbabit adalah 15 daripada PAS, BERSATU (empat), UMNO (dua) dan dua bekas ADUN PKR.
Komposisi DUN Kedah menyaksikan perubahan apabila PAS kini menguasai 15 kerusi, manakala PKR (lima), AMANAH (empat), BERSATU yang menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin (empat), BERSATU (Tun Dr Mahathir Mohamad – dua), UMNO (dua) dan Bebas (dua).
Muhammad Sanusi dilantik sebagai Menteri Besar setelah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir mengumumkan peletakan jawatan menteri besar Kedah ke-13;
Mukhriz pada sidang medianya di Wisma Darul Aman, juga mengumumkan peralihan kuasa kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) Kedah serta kedudukan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) turut tergugur.
Peletakan jawatan itu dibuat selepas Pakatan Harapan hilang sokongan majoriti selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) beralih menyokong Perikatan Nasional awal minggu ini.-SM