MB Johor minta Zahid berundur
MENTERI Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi meminta Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berundur secepat mungkin.
Beliau berkata usaha untuk memulihkan dan menambah baik parti perlu dimulakan sekarang, jika gagal, Umno tidak akan dapat memenangi satu kerusi pun pada masa depan.
“Oleh itu, dengan segala hormatnya, saya meminta agar Datuk Seri Ahmad Zahid meletakkan jawatan sebagai presiden Umno secepat mungkin, sebagaimana Datuk Seri Najib Razak telah meletakkan jawatan sebagai presiden pada 2018.
“InsyaAllah, ini akan membantu kami mengambil langkah pertama untuk memulihkan dan mengukuhkan parti yang kami cintai,” kata Onn Hafiz dalam catatan di laman Facebooknya.
Katanya, pengorbanan mereka akan dihargai dan perjuangan akan diteruskan.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15, Umno dan Barisan Nasional hanya memenangi 30 kerusi parlimen.
Onn Hafiz berkata tsunami politik Melayu berlaku dalam pilihan raya umum di mana orang Melayu menolak Umno dan Umno tumbang.
“Umno dan BN hanya berjaya memenangi sembilan kerusi parlimen di Johor dan gagal memenangi mana-mana kerusi di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Kelantan dan Terengganu.
“Walaupun ia pahit untuk ditelan, pemimpin Umno termasuk saya sendiri perlu kembali mendengar suara rakyat yang diterjemahkan dalam undi pilihan raya semalam.
“Ramai pemimpin Umno, MCA dan MIC yang berkaliber dan berpotensi terkorban kerana kita tidak mendengar akar umbi,” kata Onn Hafiz.
Beliau berkata Umno perlu berani melakukan perubahan demi kepentingan parti pada masa hadapan. -SM