Nasional
Mayat nelayan hilang ditemukan lemas, terapung di muara
NELAYAN yang hilang ditemukan lemas di muara sungai Kampung Lubok Weston Tanjung, di Beaufort pada petang Selasa.
Memetik Astro Awani, mayat mangsa Zulkifli Jambul, 43, ditemukan pada pukul 4.14 petang dalam keadaan terapung oleh pasukan penyelamat ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Mohammad Hasbullah Nenggok memberitahu, operasi mencari memasuki hari kedua itu berjaya menemui mangsa di muara sungai berkenaan tidak jauh dari mangsa dilaporkan hilang.
“Mangsa berjaya ditemui dalam keadaan terapung oleh anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Lubok bersama pasukan bomba dan agensi lain pada jarak kira-kira 1.5 kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala operasi ditamatkan pada jam 5 petang,” katanya.