Hiburan

Ellie Akur Perintah Suami Ambil Vaksin

KUALA LUMPUR: Pernah didakwa antivaksin, pelakon dan pengarah, Ellie Suriaty Omar akhirnya bersetuju mengambil suntikan vaksinasi COVID-19 disebabkan akur perintah suami yang juga aktor, Azri Iskandar.

Ellie memaklumkan, dia sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksinasi, tahun lalu.

“Saya sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksinasi jenis Sinovac. Dos pertama diambil pada penghujung Oktober dan seterusnya, suntikan kedua pada November, tahun lalu.

“Suami memberi tempoh selama dua tahun untuk berpegang pendirian tidak menerima suntikan vaksinasi COVID-19, namun, akhirnya, saya akur perintah suami,” katanya kepada BH Online.

Ellie ditemui pada majlis pelancaran filem Telaga Suriram arahan Osman Ali diadakan di Mont Kiara, petang ini. Filem berkenaan turut dibintangi Scha Alyahya, Nabila Huda, Farid Kamil dan Maya Karin.

Pelakon mula menempa nama menerusi filem Spinning Gasing menafikan dirinya seorang antivaksin seperti didakwa.

“Saya bukan antivaksin, sebaliknya, memerlukan masa membuat kajian sebelum mengambil apa-apa suntikan.

“Jika saya antivaksin, saya tak ambil suntikan vaksin Bacillus Calmette-Guerin (BCG) dan polio. Lagipun, saya mempersoalkan ketika tempoh kajian penghasilan vaksin terlalu cepat berbanding vaksin lain.

“Kita ada cara tersendiri mencegah diri daripada pandemik COVID-19. Sepanjang belum melengkapkan dua dos vaksinasi, saya menitik berat langkah pencegahan agar tidak dijangkiti.

“Mengenai keputusan anak-anak, saya memberi pilihan dan tiada sebarang paksaan. Terserah kepada mereka membuat keputusan,” katanya.

Ditanya apakah kini mengakui keberkesanan vaksin, Ellie enggan mengulas perkara itu.

“Saya tak nak komen,” ujarnya ringkas.

Terdahulu, Ellie dan dua cahaya mata berusia 17 dan 12 tahun enggan menerima suntikan vaksinasi COVID-19 atas sebab keselamatan dan kesihatan.

Disebabkan keputusan isteri dan anak-anaknya itu, Azri mengakui terpaksa berbohong mendapatkan suntikan vaksinasi COVID-19 demi menjaga keharmonian rumah tangga.

Oleh Farihad Shalla Mahmud

(Visited 207 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button