ORANG ramai gempar apabila mayat seorang lelaki berusia 30-an ditemukan dalam keadaan terapung di Sungai Tambun Tulang, Simpang Empat, Perlis.
Identiti mangsa juga masih menjadi misteri kerana tiada sebarang identiti pengenalan diri.
Mangsa cuma ditemukan dalam keadaan tidak berbaju dan hanya berseluar panjang berwarna kuning.
Ketua Polis Daerah Kangar, Assisten Komisioner, Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, anggota Balai Polis Simpang Empat dan bersama beberapa orang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Simpang Empat tiba di lokasi kejadian pada pukul 3 petang, semalam.
Beliau berkata, Bomba berjaya membawa mangsa lemas ke tebing sungai di hadapan Kilang Padi Maju Simpang Empat, Perlis.
“Mangsa kemudiannya diserah kepada anggota Polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di sini.
Yusharifuddin berkata, hasil siasatan di lokasi kejadian tidak menampakkan sebarang kenderaan di sekitar lokasi mayat ditemui.
Katanya, juga tidak terdapat sebarang indentiti atau kad pengenalan diri pada tubuh badan mangsa.
“Tiada seorang pun yang mengenali mayat tersebut ketika dibawa ke tebing sungai itu,” tambahnya.
Katanya, ia diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
Yusharifuddin berkata, mayat telah dibawa oleh anggota Balai Polis Simpang Empat ke Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, Kedah untuk dibedah siasat dan ujian DNA. – SM