Politik

Maszlee tuntut Asyraf Wajdi mohon maaf di akhbar, beri pampasan

BEKAS Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik telah menghantar surat tuntutan terhadap Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Dr Asyraf Wajdi Dusuki berhubung isu buku teks Sejarah Tingkatan 4.

Ahli Parlimen Simpang Rengam itu menuntut Asyraf Wajdi untuk memadam serta-merta hantaran yang dibuat pada 24 Februari lalu yang didakwa memfitnah beliau.

Maszlee juga menuntut supaya Asyraf Wajdi memastikan bahawa mana-mana profil atau halaman Facebook dan media sosial yang menyiarkan hantaran tersebut menarik  dan memadam hantaran itu  serta-merta.

Maszlee juga mahu Asyraf Wajdi membuat kenyataan maaf bertulis di dalam Facebook beliau serta di akhbar tempatan.

Selain itu, beliau turut menuntut Asyraf Wajdi membayar sejumlah wang sebagai pampasan.

“Sekiranya tuntutan-tuntutan ini tidak dilayan dalam tempoh yang ditetapkan, tindakan undang-undang selanjutkan akan terus diambil oleh Peguam saya.

“Ini semua ialah proses tindakan undang-undang yang telah saya mulakan untuk memastikan budaya fitnah jahat berbaur perkauman begini tidak berulang lagi,” kata Maszlee.

Maszlee menambah, hanya mereka yang pengecut sahaja yang menggunakan senjata fitnah dan propaganda murahan untuk meraih sokongan politik.

“Sudah sampai masanya kita berpolitik secara matang dan berasaskan fakta, juga keberanian untuk tampil bersemuka dan berbincang agar rakyat di bawah boleh menilai dengan saksama.

“Bak kata pepatah, usahlah baling batu sembunyi tangan, beriak tanda tak dalam, bergoncang tanda tak penuh,” katanya.

Pada 24 Februari lalu Asyraf Wajdi dalam hantaranya mahu Kementerian Pendidikan menarik balik dan membetulkan fakta sejarah Tingkatan 4 yang didakwa mengagungkan komunis.

Asyraf mendakwa perkara ini semacam satu usaha terancang dan sengaja dilakukan ketika 22 bulan Pakatan Harapan memerintah bagi menanamkan benih ideologi ‘Malaysian Malaysia’ dan secara halus menyuci pemikiran pelajar bahawa fahaman sosialis dan komunis tidaklah buruk malah diangkat sebagai antara ideologi yang memperjuangkan kemerdekaan.

“Lebih mendukacitakan lagi apabila terdapat juga elemen memfitnah dan menohmah orang Melayu sebagai barua atau orang suruhan pihak penjajah Jepun untuk menentang Komunis dan MPAJA (Rujuk muka surat 75 Buku Teks Sejarah Tingkatan 4).

“Secara halus dan tersirat, Kerajaan Pakatan Harapan terdahulu telah mengangkat dan menjulang anggota Komunis dan MPAJA sebagai perwira dan pejuang kemerdekaan yang wajar diberikan pengiktirafan,” katanya.

Dalam hantaran tersebut Asyraf Wajdi  tidak menyebut nama Maszlee. Hantaran itu masih boleh dibaca di Fecebook beliau.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button