fbpx
Nasional

Pelajar Malaysia di Hong Kong akan dipindahkan jika kekacauan bertambah buruk – Maszlee

KEMENTERIAN Pendidikan akan memindahkan kira-kira 400 pelajar Malaysia sekiranya keadaan di Hong Kong mengancam keselamatan mereka.

Menterinya Dr Maszlee Malik berkata, kementerian juga sentiasa berhubung dengan Wisma Putra dari semasa ke semasa untuk tindakan lanjut, sekiranya keadaan menjadi kritikal.

Pada masa yang sama, kementerian melalui Education Malaysia Beijing akan terus memantau situasi di Hong Kong dan melaporkan perkembangan terkini.

“Keselamatan dan kesejahteraan pelajar kita menjadi keutamaan MoE,” kata Maszlee kepada Bernama di Paris hari ini.

Beliau berkata demikian susulan notis perjalanan yang dikeluarkan Wisma Putra hari ini yang menasihatkan rakyat Malaysia yang mempunyai urusan tidak penting untuk menangguhkan perjalanan ke Hong Kong berikutan demonstrasi dan protes yang berlaku di beberapa daerah di wilayah itu.


Maszlee juga menasihatkan pelajar Malaysia supaya sentiasa berwaspada dan berjaga-jaga terhadap keselamatan mereka dan sentiasa berhubung dengan Konsulat untuk mendapatkan maklumat terkini.

Maszlee kini berada di ibu negara Perancis itu kerana mewakili Malaysia pada Sesi ke-40 Persidangan Agung Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).–BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button