Nasional

Maszlee beri amaran pada Ronnie, DAP jangan biadab

PIMPINAN DAP perlu mendisiplinkan ahli-ahli parti itu untuk tahu menghormati keputusan kerajaan berhubung isu menghalang penyebaran komik propaganda politik murahan ke sekolah-sekolah selain turut disifatkan mengandungi maklumat yang terpesong daripada fakta sebenar.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, mereka harus patuh kepada Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang menjadi asas kepada pembinaan negara selama ini.

“Tindakan merendah-rendahkan parti komponen lain seperti dilakukan Saudara Ronnie Liu ialah tindakan yang biadab dan sangat tidak berasas.

“Budaya politik murahan begini hanya akan merosakkan keadaan. Ia membawa lebih banyak perpecahan malah membantutkan agenda reformasi yang sedang kita laksanakan,” katanya dalam laman Facebook beliau hari ini.

‘Amaran’ Maszlee dipercayai merujuk kepada kenyataan Ronnie yang mempertikaikan kedudukan ‘goyang’ Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam Pakatan Harapan (PH).

Ronnie yan juga Ahli Jawatankuasa Pusat DAP,  dipetik sebagai berkata bahawa PH masih boleh membentuk kerajaan tanpa Bersatu.

Mengulas lanjut kata Maszlee, beliau sekali lagi menegaskan bahawa komik propaganda politik tersebut tidak pernah mendapat kelulusan  Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“KPM tidak akan membenarkan pengedarannya ke sekolah-sekolah di bawah KPM.

“Semua sekolah yang telah menerima komik tersebut telah diarahkan untuk tidak disebarluaskan. KPM tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mempergunakan sekolah sebagai alat propaganda murahan,” katanya.

Dalam pada itu, Maszlee berkata, beliau juga telah mengarahkan KPM untuk menyiasat segera jika terdapat mana-mana individu termasuk ahli dalaman yang bertanggungjawab membenarkan komik berkenaan diedarkan ke sekolah.

“KPM akan memastikan siapa sahaja jika terbukti benar dakwaan ini akan diberi tindakan tegas.

“Saya ingin menasihatkan mana-mana ahli DAP yang tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan agar kembali mematuhi semangat ‘rule of law’ dan ‘collective responsibility’,” katanya.

 

(Visited 105 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

shahrin

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button