Nasional

Masyarakat perlu bergerak seiring perkembangan teknologi – Raja Muda Perlis

Era teknologi masa kini menuntut perubahan yang cepat dan pantas. Kita perlu bergerak seiring dengan perkembangan dan kepesatan teknologi semasa.

Pembangunan industri di Malaysia juga tidak dapat lari daripada perkembangan global khususnya Revolusi Industri 4.0 di mana Teknologi Robotik, Objek Rangkaian Internet (IOT), Kepintaran Buatan (AI), Perisian, Simulasi dan Integrasi Sistem Digital, merupakan antara elemen baharu yang mula mengambil alih fungsi pekerjaan dan sistem sedia ada.

Sektor industri negara perlu bergerak seiring dengan transformasi digital jika kita mahu ekonomi negara ini dapat terus kekal berdaya saing.

Bidang yang turut bergerak seiring perkembangan revolusi ini ialah Pendidikan.

Antara agenda yang diberikan perhatian serius ialah ruang kerjasama antara institusi pendidikan dan teknikal serta industri.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan ‘Majlis Penutupan Pertandingan KV Skills Peringkat Kebangsaan Kali Ke-5, Tahun 2020’ yang diadakan di Dewan Syed Sirajuddin Areeb Putra Kolej Vokasional Arau (KVA) pada pagi tadi.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengarah Kolej Vokasional Arau merangkap Pengerusi Zon Kolej Vokasional Perlis/Kedah, Mohd Jelani Yaacob serta seluruh jawatankuasa penganjur.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Operasi Sekolah) Adzman Talib dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis Haji Izmi Ismail.

Program ini adalah anjuran Bahagian Pendidikan Dan Latihan Teknikal Vokasional Kementerian Pendidikan Malaysia.

Baginda turut mengingatkan bahawa pendidikan masa kini perlu berkisar kepada pembangunan bakat dan bidang Teknologi Baharu, Digital dan Kejuruteraan bagi mempersiapkan para pelajar untuk pasaran kerja dalam pengeluaran pintar.

Untuk rekod, pertandingan KV Skills ini dilaksanakan dengan tumpuan diberikan kepada 20 bidang kemahiran yang terdapat di Kolej Vokasional meliputi pelbagai aspek dan bidang yang diperlukan industri.

Adalah diharapkan juga melalui penganjuran ini, Kementerian Pendidikan Malaysia dapat menghasilkan pelajar yang mampu bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Bagi pertandingan kali ke 5 ini, antara para pemenang yang menerima hadiah-hadiah daripada Tuanku Raja Muda terdiri daripada ‘Anugerah Platinum’ (markah di antara 90 – 96.9%) iaitu ‘Desain Fesyen’ oleh Norazwani Mohamad dari KV Dungun dan ‘Memasak’ oleh Nurlara Sofea Zainol dari KV Kuala Selangor.

Mohamad Hafis Abu Talib dari KV Kajang pula memenangi hadiah utama berupa ‘Anugerah Tangan Emas (Teknologi Automotif).

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button