fbpx
Politik

Permuafakatan Kerajaan Perikatan Nasional Memanfaatkan Semua

PARTI Perikatan yang ditubuhkan pada 30 Oktober 1957 secara rasminya telah digantikan dengan Barisan Nasional 1973. Dan, setiap kali berubahnya struktur parti pemerintah itu, MCA akan turut merasai tempias dengan kehilangan representasinya akibat realiti penambahan parti serta pengurangan pengundi Cina dan kekurangan perwakilan di dalam Dewan Rakyat.

Jika dahulu, kuasa MCA dicanangkan telah terhakis dek kemunculan parti-parti “multi-racial” sekitar tahun 1973, namun mencongak kepada landskap politik hari ini, MCA boleh dikatakan semakin kehilangan representasinya pasca kemunculan pecahan parti-parti Melayu dan Islam seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (PAN).

Hakikatnya inilah perubahan landskap politik yang perlu diterima oleh sebilangan masyarakat Cina bahawa pengaruh politik mereka semakin menyusut dan berkurangan lebih-lebih lagi sekiranya mereka mengamalkan politik konfrontasi ala-DAP dan bukannya politik konsensus atau muafakat ala-Tun Tan Cheng Lock.

Justeru, keputusan Perdana Menteri kelapan, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin melantik 2 orang wakil rakyat MCA dari keseluruhan 27 orang ahli parlimen dari gabungan Muafakat Nasional (MN) yang diangkat sebagai menteri dan timbalan menteri baharu memberikan isyarat jelas bahawa MCA masih direstui dan diperlukan.

Dan juga terbukti MCA itu masih relevan dan masih diharapkan dalam membawa suara masyarakat minoriti khususnya memperjuangkan kebajikan rakyat masyarakat Cina yang mempunyai bilangan yang kedua terbesar di negara ini.


Selepas kegagalan DAP menyuarakan kehendak politik yang jitu sepanjang 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan (PH), dan menunjukkan taring serta belang keangkuhan mereka serta “mendewai” Tun Dr. Mahathir yang pernah dikecam mereka suatu ketika dahulu ketika menjawat jawatan, ternyata ramai yang sudah terbuka mata dan tercelik mata melihat permainan politik dan wayang sandiwara DAP yang sebenar.

Oleh demikian, dengan kembalinya semula MCA serta MIC di Kabinet melalui blok kepimpinan MN, kita mengharapkan api perkauman yang tertiup sejak berbulan-bulan lalu dapat diredakan semula melalui permuafakatan secara rasional dan tidak beremosi.

Tidak boleh dinafikan, MCA mempunyai rekod cemerlang dalam memperjuangkan nasib masyarakat Cina di negara ini, malah sehingga ke hari ini juga, MCA masih mampu menyumbang terhadap perkara yang jauh lebih bermanfaat untuk komuniti Cina tanpa perlu memprovokasi atau mencetuskan sebarang isu perkauman.

Pegangan MCA sejak 71 tahun lalu yang bersandarkan pada semangat konsensus, muafakat dan memartabatkan nilai kepelbagaian di dalam landskap politik yang demokratik, toleransi, dan bersederhana merupakan resepi terbaik bagi sebuah parti politik berkomuniti Cina dalam konteks sebuah negara seperti Malaysia ini.

MCA mempunyai YB Datuk Seri Ir Dr. Wee Ka Siong yang berpengalaman hampir 10 tahun di Kementerian Pendidikan dan Jabatan Perdana Menteri serta YB Datuk Seri Wee Jeck Seng yang juga memiliki 2 tahun pengalaman di Kementerian Belia dan Sukan – pastinya lebih mengetahui apa yang diperlukan dalam memperkasa semula negara ini ke arah yang lebih baik.

Berbanding DAP yang sekadar mempunyai peratusan perlantikan jemaah menteri sebanyak 28.5% atau 12 daripada 42 ahli parlimen mereka, MCA mendapat markah penuh apabila kedua-dua wakil diangkat menjawat jawatan menteri dan timbalan menteri di Kabinet.

Sekiranya MCA mampu mendapat 42 kerusi Parlimen seperti DAP, tidak mustahil MCA boleh mempunyai kadar representasi yang lebih tinggi berbanding hanya 28.5% sedangkan untuk rekod, MCA pernah memiliki wakil di Kabinet seramai 16 orang pada 2004, jauh lebih ramai dari jumlah DAP sebelum ini.

Semestinya, DAP kini ghairah mengeksploitasi dan membolak-balikkan emosi kaum Cina dengan mensasarkan jumlah representasi 2 orang wakil rakyat MCA sebagai tidak cukup untuk membawa suara masyarakat Cina berbanding penyertaan 12 orang ahli parlimen mereka di Kabinet sebelum ini.

Dalam mengharungi suhu politik yang semakin emosi dan eksploitasikan api ras dan agama , kepimpinan berkualiti dan keikhlasan ada lebih penting dari kuantiti representasi yang kita sendiri tidak tahu baik atau buruk, elok atau jelek dan mungkin sebulu atau seteru.

Maka itu, saya menyarankan agar DAP jangan lagi berdrama bagi menyemarakkan api provokasi terhadap representasi masyarakat Cina dalam kerajaan Perikatan Nasional semata-mata ingin mengaggalkan kerajaan Perikatan Nasional yang ikhlas dan ingin menstabilkan pergolakan politik negara.

Senator Dato Seri Ti Lian Ker
Naib Presiden Mca

Show More

Related Articles

Back to top button