NasionalNegeriUncategorized

Masyarakat mampu tingkat ekonomi dengan industri francais – Raja Puan Muda

RAJA Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dalam titah percaya masyarakat tempatan mampu memainkan peranan yang amat signifikan dalam membantu memastikan kestabilan sosio-ekonomi negara menerusi spektrum industri francais.

Tambah Baginda, ekosistem francais adalah amat dinamik, malah sering terdedah kepada perubahan landskap ekonomi dan sosial global.

Dalam titah itu lagi, jelas Baginda antara yang tidak dapat dinafikan adalah perubahan mata wang asing, persaingan harga, perundangan dan lain-lain yang berkenaan.

Titah Baginda lagi, negara telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menambahbaik bidang francais tempatan untuk menjamin kelangsungan dan kestabilan perniagaan terutamanya musim pandemik Covid-19.

“Usaha ini juga melibatkan sokongan oleh semua pihak termasuklah sektor awam dan swasta, serta mereka yang berkepentingan melalui strategi-strategi yang telah ditetapkan,” titah Baginda.

Demikian titah Tuanku Hajah Lailatul Shahreen selepas berkenan menandatangani sijil-sijil ucapan penghargaan kepada panelis serta urusetia yang terlibat dalam Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) ‘Women In Search of Excellence (WISE)’ Siri Ke-13 bertajuk “Pendaftaran dan Pembangunan Perniagaan Francais” anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang telah berlangsung secara atas talian pada 30 September lalu.

Raja Puan Muda selaku Pengerusi YTF dan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sebagai Penasihat DiRaja menzahirkan rasa sukacita atas kerjasama serta komitmen yang tidak terhingga oleh semua yang terlibat khususnya kepada Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Azman Mohd Yusof di atas penglibatan dan komitmen dalam menjayakan penganjuran program webinar dengan kerjasama YTF tersebut.

Sesuai dengan slogan “Perniagaan Francais Menjana Ekonomi”, “Memartabatkan Pembangunan Negara”, Baginda menitahkan panel-panel undangan program berkenaan yang terdiri daripada pemain industri berkongsi ilmu dan pandangan mengupas tentang isu terkini berkaitan perniagaan francais negara di samping membicarakan usaha-usaha yang diambil dalam mendepani cabaran yang melanda dengan baik sekali.

Mereka juga turut berkongsikan pengalaman dan peluang yang dapat dimanfaatkan oleh semua golongan masyarakat tempatan yang juga merupakan manifestasi yang realistik betapa golongan masyarakat umum juga mampu untuk berjaya dalam sektor ini.

Untuk rekod, perkembangan industri francais tempatan juga diselaraskan dengan pengukuhan pendaftaran serta peningkatan pematuhan terhadap industri ini di bawah Akta Francais 1998.

Ini membolehkan sistem pendaftaran adalah sistematik dan memastikan industri francais beroperasi dalam persekitaran yang kondusif, cekap dan berkesan.

Lagi seminar anjuran YTF yang bertajuk: “Wanita Dalam Pembangunan Negara”, bakal dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 20 Oktober di Sanggar Tun Sri Lanang, Tingkat 31, Menara DBP Kuala Lumpur. – SM

(Visited 113 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button