fbpx
Nasional

Masyarakat Islam harus celik pengurusan, perancangan dan pengagihan harta

SUDAH tiba masanya masyarakat Islam di negara ini celik dan mengetahui tentang kepentingan pengurusan harta sebelum harta-harta yang ditinggalkan selepas kematian tidak dituntut ataupun menjadi perbalahan dalam kalangan penuntut atau waris disebabkan beranggapan pembahagian harta boleh diuruskan mengikut hukum faraid.

Kebelakangan ini, harta pusaka
bernilai berbilion-bilion ringgit tidak dituntut dan itu merupakan satu pembaziran yang tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan umat Islam.

Menurut Ketua Hakim Syarie, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar, undang- undang perwarisan harta ini lebih penting untuk diberikan tumpuan.

“Masyarakat perlu mempertingkatkan lagi ilmu pengetahuan harta pusaka.


“Itulah sebabnya penting diwujudkan sekumpulan masyarakat yang benar-benar mengetahui tentang pengurusan harta pusaka.

“Kumpulan masyarakat atau perunding inilah yang boleh menyampaikan maklumat yang betul kepada masyarakat,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Konvensyen Wasiyyah Shoppe kali ke-19 di Sepang, hari ini.

Dalam ucapannya, Dr. Mohd. Na’im turut memuji usaha syarikat Wasiyyah Shoppe yang sanggup berkorban harta untuk menyebarkan ilmu pengurusan, perwarisan dan perancangan harta.

Beliau juga berkata, mind set masyarakat Islam perlu berubah.

Dalam erti kata lain, kikis dan buang jauh-jauh pemikiran yang mengatakan tidak perlu merancang dan tidak perlu mengurus harta kerana adanya hukum faraid.

Begitu juga tentang pengetahuan hibah yang mana masyarakat Islam tidak didedahkan dengan pengetahuan tentangnya sehingga ada yang beranggapan, hibah adalah satu ‘ajaran sesat’ atau dipersoalkan ajaran manakah hibah ini?

Memahami ucapan Dr. Mohd. Na’im yang mahu kes-kes yang dibicarakan di mahkamah syariah bukan lagi berkaitan perkahwinan dan perceraian, sebaliknya mencakupi urusan harta pusaka yang dimudahcarakan oleh kumpulan perunding seperti yang ditawarkan oleh Wasiyyah Shoppe.

“Ada perkembangan di peringkat mahkamah syariah yang mana sudah membicarakan kes-kes hibah dan wasiat.

“Reformasi gerakan urusan perwarisan pentadbiran harta perlu dilakukan dan dalam hal ini, peranan yang dimainkan oleh perunding penting dalam tuntutan pentadbiran harta,” katanya.

Jika dahulu harta pusaka yang ditinggalkan dalam bentuk tanah dan wang tunai, hari ini potfolio harta adalah pelbagai.

“Potfolio harta pelbagai. Ada saham syarikat, ada dalam bentuk bursa saham, saham koperasi, takaful, barangan kemas, kenderaan dan aksesori mahal berupa bag tangan berjenama.

“Jika harta-harta ini tidak diuruskan, apabila pemiliknya sudah meninggal, berlaku perbalahan waris-waris,” tegas Dr. Mohd. Na’im.

Ditambah pula tidak tahu hukum maka harta pusaka peninggalan akan menjadi harta tertunggak yang tidak dituntut sehingga bernilai berbilion ringgit.

Solusinya ada dan kaedahnya ialah mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan oleh 2,200 orang perunding Wasiyyah Shoppe.

Kata Ketua Pegawai Eksekutif syarikat amanah patuh syariah pertama di Malaysia, Wasiyyah Shoppe Berhad, Ariffin Sabirin, pihaknya menawarkan 35 jenis perkhidmatan sejak ditubuhkan 15 tahun lalu.

“Adalah menjadi hasrat syarikat untuk menambah 1,000 orang lagi perunding tahun 2020 ini,” katanya yang setakat ini telah membantu lebih 60,000 individu dalam pengurusan, perwarisan dan perancangan harta.

Sedikit pencerahan perbezaan di antara Amanah Raya Berhad yang ditubuhkan sejak tahun 1921 dan Wasiyyah Shoppe yang memulakan operasinya pada tahun 2004, Ariffin berkata, perkhidmatan Amanah Raya adalah mengikut akta yang ditentukan manakala Wasiyyah pula memberi perkhidmatan mengikut acuan individu.

Ini bermaksud, apakah struktur keluarga, harta pusaka yang bakal ditinggalkan dan hubung kait dengan hukum faraid akan diambil kira oleh perunding.

Sejajar dengan peneraju perancangan harta dan pengurusan pusaka, perunding-perunding Wasiyyah Shoppe meletakkan struktur faraid, hasrat dan potfolio harta sebagai elemen yang perlu dilihat dalam membuat perundingan. – SM

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button