Berita

Masyarakat di sempadan perlu terus diberi kesedaran

Lokasi geografi bandar-bandar, pekan-pekan dan kampung-kampung yang terletak di sempadan sesebuah negara walaupun terbukti mempunyai potensi ekonomi yang cukup besar dan strategik namun ianya juga membuatkan ia lebih mudah terdedah terhadap pelbagai isu terlarang menyalahi undang-undang seperti penyeludupan barangan, hidupan dan manusia, selain masalah sosial biasa yang lain.

Walaupun begitu, perkara-perkara ini diyakini mampu di atasi dengan sebaiknya sekiranya para warganya terus menerus dibekalkan dengan ilmu, kesedaran serta diterapkan dengan sahsiah dan moral yang tinggi dalam diri. Justeru, situasi seumpama ini perlu diatasi dengan seberapa segera, berperancangan dan berintegriti supaya ia tidak memberi impak negatif bukan sahaja kepada individu dan keluarga terbabit itu sendiri, malah ke tahap yang lebih besar lagi iaitu terhadap agama, bangsa, negeri dan juga negara.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan MAIPs berjumlah RM21,000
kepada seramai 30 orang asnaf terpilih masing-masing menerima RM700 setiap seorang dalam kalangan anak kariah Masjid Masjid Al Ghofur, Padang Lati, Beseri untuk diagihkan oleh amilnya, Kamaruddin Sulon.

Mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Tuanku Raja Muda turut menitahkan harapan agar agensi-agensi serta organisasi bertanggungjawab melalui kerjasama dengan kepimpinan setempat dapat memperhebatkan peranan masing-masing dalam menyalurkan maklumat, ilmu dan panduan kepada warga di kawasan-kawasan sempadan khususnya golongan remaja dan pelajar dalam merealisasikan hasrat melahirkan generasi prihatin yang tidak melanggar batasan agama dan undang-undang serta benar-benar mampu menyumbang kepada kesejahteraan diri sendiri, keluarga, masyarakat, negeri dan juga negara.

Pada kesempatan yang sama Tuanku Syed Faizuddin Putra juga amat berharap supaya kawalan sempadan negara akan terus dimantapkan lagi dari masa ke semasa dengan menaik taraf prasarana sedia ada dan operasi keselamatan. Tidak dapat dinafikan keselamatan dan keamanan adalah komponen penting dalam pembangunan negara.

(Visited 175 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button