Politik

Masyarakat Cina benci kerjasama MCA-UMNO

MCA bekerjasama dengan UMNO dibenci pengundi bukan Melayu khususnya masyarakat Cina, kata Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker.

Kebencian itu timbul kerana masyarakat Cina hari ini termakan dengan hasutan dan propaganda DAP yang menghantui UMNO sebagai parti perkauman, kata Ti.

Beliau berkata, bagaimanapun MCA tidak sekalipun menggunakan alasan seperti PAS sebagai parti ektremis agama untuk menjustifikasikan Kerjasama mereka dengan UMNO.

“UMNO dibenci oleh rakyat termasuk pengundi Melayu kerana hasutan dan hentaman bertalu-talu oleh propaganda DAP.

“Dan ini telah menimbulkan kebencian penyokong UMNO terhadap DAP dan masyarakat Cina yang rata-rata termakan hasutan DAP yang bertahun-tahun,” katanya dalam catatannya di akaun Facebook milik beliau.

Menurut Ti lagi, secara tiba-tiba DAP bekerjasama dengan UMNO dan menjadikan PAS sebagai sasaran mereka untuk memomokkan dan menakutkan pengundi bukan Melayu khususnya pengundi Cina.

Senario itu telah menimbulkan polarisasi perkauman dan keagamaan dengan trend Melayu sokong Perikatan yang diterajui oleh PAS dan bukan Melayu menyokong Pakatan yang diterajui oleh DAP, katanya.

“MCA percaya polarisasi ini akan berterusan dan menjadi semakin hangat lebih-lebih lagi apabila sentimen perkauman dan keagamaan dieksploitasikan untuk menimbulkan kebencian semata-mata untuk mengaut undi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri nanti.

“Oleh sebab itu, biarlah MCA membuat pengorbanan demi untuk kembali menjadi orang perantaraan dan jambatan perhubungan etnik berlandaskan perlembagaan yang merupakan peranan tradisi MCA sejak penubuhan negara kita Malaysia walaupun dicabar dan dibenci oleh penyokong Malaysian Malaysia yang dianjurkan oleh DAP sebelum ini,” katanya .

Tambah beliau, keputusan MCA untuk tidak terlibat dalam persengketaan yang menjadikan sentimen perkauman dan keagamaan sebagai senjata adalah untuk merenggangkan ketegangan perkauman dan keagamaan yang semakin ketara dan mengancam ketenteraman negara.

“MCA tidak setuju dengan penggunaan perpaduan semata-mata untuk mendapatkan undi dan dalam masa yang sama menganiayai mana-mana pihak sebagai musuh dan perlu dibenci.

‘MCA menyarankan bahawa kita adalah  satu keluarga Malaysia dan polemik agama dan etnik haruslah dihentikan dengan serta-merta.

“Tumpuan sepatutnya diberi pada pembinaan negara dan bukannya pembinasaan negara. Ekonomi , nilai mata wang , kos sara hidup dan sebagainya semakin merosot dan rakyat semakin dibelenggukan.

“Sama-sama kita sedar diri dan bertaubatlah ! Lebih-lebih pagi penyokong PAS dan DAP kerana BN tidak dapat lagi memainkan peranan persahabatan dan jambatan antara kaum dan etnik secara efektif seperti dulunya!” jelas beliau. – SM

BACA MCA tidak akan korban prinsip perjuangan – Lian Ker

BACA MCA bukan parti oportunis politik – Ti Lian Ker

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button