Masjid, surau perlu pikat hati belia dengan pelbagai program
MASJID dan surau memainkan peranan penting dalam memastikan belia dapat berhadapan dengan cabaran sosial yang besar.
Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, kedua-dua institusi keagamaan itu bersma dengan masyarakat setempat perlu bekerjasama untuk memastukan belia tidak terjebak dengan aktiviti tidak bermoral.
“Masjid dan surau boleh mengambil pelbagai inisiatif untuk menarik minat golongan muda untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang lebih bermanfaat khususnya bagi memupuk sikap bekerjasama dalam masyarakat dan semangat kenegaraan yang tinggi.
“Surau dan masjid tidak hanya dijadikan tempat menunaikan solat semata-mata namun perlu mewujudkan pelbagai aktiviti yang membina masyarakat yang lebih sempurna,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Semarak Merdeka dan Penyampaian Sumbangan Perdana Masjid dan Surau Jumaat Parlimen Bandar Tun Razak di Pusat Belia Antarabangsa Bandar Tun Razak, kelmarin.
BACA> Kemajuan negara harus dinikmati secara rata oleh rakyat
Menerusi program tersebut, Kamarudin yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak telah bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk mengadakan konvoi bermotosikal.
Konvoi ini bergerak dari satu masjid ke masjid yang lain menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf dan golongan yang memerlukan.
Dalam pada itu, Kamarudin juga menyampaikan sumbangan keseluruhan berjumlah RM480,000 kepada setiap masjid dan surau untuk merancakkan aktiviti pengimarahan dua institusi Islam itu. -SM