Nasional

Kemajuan negara harus dinikmati secara rata oleh rakyat

KEMAJUAN negara bukan sahaja diukur melalui pengukuran angka-angka dalam pertumbuhan ekonomi tetapi sumber pendapatan dan kualiti hidup setiap rakyat.

Justeru, kemakmuran ekonomi negara sewajarnya dapat dinikmati oleh seluruh rakyat secara rata dan bukannya kelompok masyarakat tertentu.

Justeru ia menjadi salah satu cabaran bagi terus membina negara ke arah kemajuan yang ingin dikecapi walaupun Malaysia kini menyambut Kemerdekaan Ke-63 hari ini.

“Angka-angka pertumbuhan ekonomi hanya akan bermakna apabila saudara-saudari mempunyai sumber pendapatan mencukupi.

“Kediaman yang selesa, pendidikan sempurna, kesihatan baik, alam sekitar yang lestari dan keselamatan sentiasa terpelihara untuk menjalani kehidupan bahagia dan sejahtera.

“Dari sebuah negara yang mundur suatu ketika dahulu, kita telah menjadi sebuah negara yang maju dalam pelbagai bidang.

“Kita juga bersyukur negara kekal aman dengan perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama.”

Demikian kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan Hari Kebangsaan Ke-63 malam tadi.

Beliau berkata lagi, mengekalkan kemerdekaan, kedaulatan serta kemananan negara sejak 63 tahun lepas adalah tanggungjawab besar.

Ia bukan sahaja dipikul oleh kerajaan, sebaliknya rakyat Malaysia seluruhnya perlu memainkan peranan bagi memastikan kemerdekaan ini berkekalan.

“Inilah amanah besar yang mesti dipikul oleh saya dan saudara-saudari semua.

“Kita mesti kekalkan kemerdekaan negara kita. Kita mesti pertahankan kedaulatan negara kita.

“Kita mesti pelihara keamanan negara kita. Kita mesti tegakkan keadilan dan pelihara kebebasan rakyat.

“Kita mesti pastikan seluruh warga tanah air tercinta ini sejahtera dan sentosa selama-lamanya,” ucap beliau.

Sambutan kemerdekaan negara kali ini di sambut secara unik ekoran pandemik Koronavirus yang melanda seluruh dunia.

Justeru, beberapa negeri mengambil inisiatif sendiri untuk menganjurkan sambutan ambang kemerdekaan malam tadi.

Walaupun terdapat beberapa negeri yang tiada sambutan rasmi, namun pameran dan pertunjukan bunga api tetap diadakan dan meriah dengan kehadiran pengunjung. – SM

(Visited 735 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button