Masalah kesihatan jadi punca Nabila Razali tarik diri separuh akhir Muzik-Muzik
MASALAH kesihatan yang berlarutan sejak seminggu lalu menjadi punca penyanyi, Nabila Razali menarik diri daripada menyertai separuh akhir Muzik-Muzik pada esok.
Pengurusnya yang dikenali sebagai Ash berkata, keputusan itu dibuat atas nasihat doktor, guru vokal Datuk Syafinaz Selamat & juga komposer lagu Peluang Kedua, Hael Husaini & MFMF.
Menurutnya, pelbagai usaha rawatan sudah dilakukan termasuk mendapatkan khidmat doktor pakar namun berehat dalam jangka masa yang panjang adalah jalan terbaik.
“Ini adalah keputusan yang sangat sukar buat Nabila berikutan peluang untuk menyanyi di pentas separuh akhir Muzik-Muzik antara yang menjadi impian buatnya sebagai penyanyi.
“Dia sudah menjalani latihan vokal sejak September lalu dengan Datuk Syafinaz sebagai persiapan awal.
“Namun masalah ini dikesan sejak minggu lalu dan menjadi semakin teruk,” katanya.
Jelasnya, Nabila sepatutnya menyanyikan lagu ini pada malam Ahad, iaitu hari terakhir program Muzik-Muzik.
Tambahnya, pihaknya juga sedang mengusahakan siapa pengganti terbaik untuk lagu tersebut.
Sebelum ini, Nabila pernah tular di laman sosial kerana terkucil ketika menyanyikan lagu Peluang Kedua di sebuah program yang disiarkan secara langsung.
Pelbagai kecaman diberikan kepadanya ekoran insiden tersebtu sehingga dia mengakui mengalami tekanan ekoran perkara tersebut. -SM