Nasional

Masak asam pedas guna 250 dapur catat Malaysia Book Of Records

Malaysia Book Of Records (MBOR) hari ini mengiktiraf penyertaan 250 peserta memasak hidangan asam pedas secara serentak sempena Festival Masakan Warisan Melaka 2022 (FMWM) yang berlangsung di Jalan Kota, Bandar Hilir dekat sini anjuran Perbadanan Muzium Melaka (Perzim).

Pengerusi Lembaga Pengarah Perzim, Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata, ini merupakan kejayaan kedua Perzim mendapat pengiktirafan MBOR apabila kali pertama melakukannya apabila menganjurkan Festival Sepak Raga Bulatan dan Sepak Bulu Ayam (Capteh) pada 2014.

Akramuddin Abdul Aziz (dua dari kanan) menerima pengiktirafan MBOR daripada Aaron Bong Ken Jin  (kiri) sempena Festival Masakan Warisan Melaka 2022 (FMWM) yang berlangsung di Jalan Kota, Bandar Hilir, Melaka.

Menurutnya, festival Capteh itu mencatatkan sejarah apabila diiktiraf MBOR dengan kejayaan mengumpulkan 1,500 peserta bermain capteh serentak dalam masa 10 minit.

Beliau berkata, kejayaan itu juga berjaya memadamkan rekod lama MBOR apabila penyertaan 135 peserta memasak asam pedas yang dilakukan Q’Fish Cabaran Asam Pedas sempena program Cabaran Masakan Melaka 2019.

“Alhamdulillah Melaka khususnya Perzim berjaya mencatatkan satu lagi rekod memasak hidangan asam pedas serentak apabila kita berjaya mengumpulkan seramai 250 peserta.


“Apa yang unik kali ini mereka menggunakankan bahan yang sama iaitu ikan, sayur dan rencah yang sama untuk memasak asam pedas yang cukup sinonim dengan Melaka.

“Kesemua peserta memasak pelbagai jenis asam pedas kerana kita mempunyai ramai etnik termasuk baba dan nyonya, orang-orang lama serta pelajar daripada institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menerima pengiktirafan itu daripada Penolong Pengurus Besar Pemasaran MBOR, Aaron Bong Ken Jin di sini hari ini.

Program tersebut mendapat kerjasama daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Adabi.

FMWM berlangsung selama tiga hari bermula pada Jumaat hingga Ahad, menyediakan pelbagai program menarik termasuk gerai pameran, pelbagai masakan citarasa orang Melaka, pertandingan sepak raga, serta cabutan bertuah.

Program Masakan Asam Pedas Serentak 250 Dapur MBOR telah diadakan di bawah Muzium Istana Kesultanan Melaka mendapat penyertaan daripada pelbagai pihak termasuk pelancong serta penyertaan daripada pelbagai pihak dari dalam dan luar negeri ini.

Akramuddin berkata, paling menarik penyertaan seorang pelancong dari Perancis, Marius Roche, 21, pelajar perubatan dari Lyon yang kebetulan melawat Muzium Istana Kesultanan Melaka.

Marius Roche dari Lyon, Perancis adalah antara peserta yang menyertai program Masakan Asam Pedas Serentak 250 Dapur MBOR di Bandar Hilir, Melaka.

“Dia memang tidak tahu memasak asam pedas tetapi mendaftar sebagai peserta serta ditunjuk ajar daripada peserta lain hingga dia sendiri boleh menyediakan masakan itu,” ujarnya.

Menurutnya, Perzim akan menganjurkan program itu jika ada pihak berjaya memecahkan rekod penyertaan 250 peserta memasak asam pedas secara serentak.

Sementara itu Marius ketika ditemui melahir rasa teruja dapat menyertai program memasak asam pedas walaupun dia sendiri tidak tahu atau pandai memasak masakan tersebut.

“Kebetulan saya melawat Melaka sewaktu melawat Muzium Istana Kesultanan Melaka saya diberitahu ada program masak asam pedas jadi saya pun turut serta,” ujar pelajar perubatan dari salah sebuah universiti di Lyon, Perancis.

Ujarnya, dia telah ditunjuk ajar untuk memasak asam pedas oleh beberapa peserta dan menyifatkan ia sangat mudah untuk disediakan. SM

(Visited 205 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button