Nasional

Mara Perak, Gading Kencana lahirkan usahawan pemasang panel solar

Majlis Amanah Rakyat (Mara) Perak mahu melahirkan lebih banyak usahawan pemasang panel tenaga solar di negeri itu.

Buat permulaan Mara Perak mengadakan kerjasama dengan syarikat tenaga solar terkemuka negara Gading Kencana Sdn. Bhd dengan menganjurkan Kursus Asas Sistem Tenaga Photovoltaic (PV) kepada 15 orang usahawan dan bakal usahawan.

Peserta kursus didedahkan bagaimana panel solar dipasang.

Menurut Pengarah Mara Negeri Perak Lailatul Asmah Mohd. Tahir, pihaknya memilih Gading Kencana untuk memberikan latihan kerana syarikat tersebut mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam bidang tenaga solar.

“Kita menggunakan kepakaran yang ada pada Gading Kencana untuk membantu Mara menggubal modul pendidikan yang kita laksanakan program pendidikan di institusi pendidikan Mara.

“Contohnya KKTM yang terlibat dalam modul elektrik maka Gading Kencana adalah merupakan pemain industri yang berkemahiran memberi khidmat nasihat modul yang macam mana yang perlu kita gubal supaya modul itu dekat dengan industri,” katanya.

Related Articles
Lailatul Asmah memberi kata-kata semangat kepada peserta untuk menjadi usahawan pemasang panel solar yang berjaya.

Tahun ini Mara Perak menyediakan lebih lebih 20 program dalam persijilan. Program tersebut akan memberi manfaat kepada lebih 350 usahawan di Perak.

Kursus membabitkan lima industri iaitu makanan dan minuman, perkhidmatan, automotif, gaya hidup dan pembinaan.

Katanya, melalui kerjasama dengan pihak industri seperti Gading Kencana usahawan-usahawan yang terlibat akan dapat merebut peluang yang baharu.

“Untuk memastikan perniagaan mereka ini lebih pembagai. Sebelum ini mungkin perniagaan memfokuskan dalam bidang elektrik, membuat pendawaian elektrik tetapi apabila kita beri pendedahan tenaga solar mereka boleh menceburi bidang yang baru dan merebut peluang yang baru,” kata Lailatul Asmah.

Beliau ditemui selepas melakukan perasmian penutup Kursus Asas Sistem Tenaga Photovoltaic (PV) yang berlangsung selama dua hari di ladang solar berskala besar Gading Kencana di Bidor, Perak baru-baru ini.

Guntor memberi pendedahan mengenai sejarah syarikat Gading Kencana sehingga mencapai kemajuan hari ini.

Sementara itu Pengarah Urusan Kumpulan Gading Kencana Datuk Dr. Ir. Guntor Tobeng berkata, negara memerlukan kira-kira 200 usahawan pemasang panel solar.

Ini berikutan permintaan tinggi pemasangan panel solar di kediaman selepas kerajaan meneruskan Program Skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) 3.0.

“Sebelum ini kita tidak pernah melihat satu sambutan yang di luar jangkaan daripada pengguna untuk memasang solar panel di rumah tapi dari bulan Januari hingga Februari tahun ini kuota 100 megawatt sudah habis diambil sebanyak 5 megawatt bermakna permintaan sudah meningkat.

“Kesedaran daripada masyarakat juga sudah bertambah baik jadi kita perlu buat persiapan awal. Kita khautir bila kita dapat pesanan yang banyak tetapi tidak cukup tenaga pasang solar panel jadi pelanggan akan marah dan kecewa dengan kita.

“Gading Kencana berterima kasih kepada Mara kerana mempunyai wawasan atau dasar yang cukup baik untuk bersama-sama kita melatih usahawan bumiputera untuk melibatkan diri dalam perniagaan pemasangan sistem solar,” kata Guntor.

Peserta melihat komponen yang perlu ada dalam pemasangan panel solar.

Sementara itu salah seorang peserta, Mohamad Amin Roslan, 30 amat berterima kasih kepada Mara Perak dan Gading Kencana yang menyediakan kursus selama dua hari itu dengan bayaran sebanyak RM100 sahaja termasuk makan dan tempat tinggal.

Mohamad Amin yang merupakan Pengarah Mobile Engineering Services Sdn. Bhd. berkata, kursus yang disediakan membuka peluang perniagaan baharu kepada peserta.

“Alhamdulillah selama dua hari kita duduk di ladang solar Gading Kencana ini banyak sangat ilmu tentang pemasangan solar. Kita diajar dari komponen sampai kepada pemasangan dan penyelenggaran panel solar.

“Insya-Allah ilmu yang dapat daripada kursus yang disediakan Gading Kencana, lepas ini sudah nampak gambaran bagaimana kita mahu pasang solar di luar nanti” kata Mohamad Amin.

Abdul Halim menjelaskan kepada peserta mengenai peralatan yang digunakan dalam pemasangan panel solar.

Sebagai usahawan, beliau melihat industri pemasangan panel solar mempunyai potensi dan pasaran yang besar.

Malah beliau turut yakin pemasangan panel solar di kediaman akan menjadi trend di Malaysia tidak lama lagi.

“Macam sebelum ini kalau kita sebut alat pendingin hawa dulunya hanya ada di rumah orang yang ada-ada sahaja tetapi sekarang ini hampir keseluruhan rumah ada termasuk rumah golongan B40.

“Jadinya panel solar juga saya rasa ini bila dikomersialkan insya-Allah akan jadi seperti alat pendingin hawa yang akan ada di setiap rumah penduduk,” kata Mohamad Amin.

Ruang yang digunakan sebagai kelas di fasiliti Ladang Solar Berskala Besar Gading Kencana di Bidor, Perak.

Kursus berkenaan dikendalikan oleh dua tenaga pakar dari Gading Kencana termasuk Pengarah Operasi dan Penyelengaraan, Abdul Halim Adnan.

Program latihan yang ditawarkan merangkumi pengenalan tentang teknologi fotovolta, kaedah tenaga elektrik dihasilkan melalui teknologi fotovolta, sistem fotovolta dari peringkat asas penjanaan sehingga ke beban, pemasangan sistem fotovolta mengikut standard, penyelenggaraan dan aturan keselamatan bagi pepasangan sistem fotovolta.-SM

 

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button