Nasional

Jabatan Penerangan jadi pemudah cara bantu rakyat daftar vaksin COVID – Saifuddin

Jabatan Penerangan kini berperanan sebagai pemudah cara untuk membantu rakyat khususnya golongan warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) mendaftar bagi menerima suntikan vaksin COVID-19, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata pegawai jabatan itu yang berada di setiap daerah akan mendekati golongan tersebut di kawasan masing-masing selain menerusi program-program yang dianjurkan jabatan berkenaan.

“Kita sedang beri tumpuan untuk pendaftaran ini sebab masih ada misalnya warga emas (dan) OKU yang belum berdaftar… bantu untuk pendaftaran sama ada melalui (aplikasi) MySejahtera atau kita tolong daftarkan untuk mereka sebab mustahak untuk pastikan semua mendaftar dan mendapat vaksin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum majlis menghadap Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Istana Arau, di Arau.

Dalam pada itu, Saifuddin menasihati orang ramai agar tidak terpengaruh dengan golongan antivaksin yang berterusan menyebarkan berita tidak benar mengenai keberkesanan vaksin itu menerusi laman sosial kerana vaksin tersebut disahkan selamat secara saintifik.


‘Kita jangan dengar khabar angin dan berita palsu yang mengatakan tidak selamat mengambil vaksin ataupun vaksin ada yang haram, sebab secara saintifik dah dibuktikan selamat (dan) fatwa telahpun dikeluarkan (yang) hukumnya harus.

“Sepatutnya kita kena galakkan orang mengambil vaksin, bila kita ambil vaksin, ia melindungi diri kita, kita membantu melindungi keluarga, jiran-jiran dan semua rakyat,” katanya.

Beliau berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia sentiasa memantau penyebaran berita palsu mengenai vaksin COVID-19 dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang berkenaan termasuk golongan yang menyebarkan dakwaan kononnya terdapat kes kematian disebabkan pengambilan vaksin itu.

— BERNAMA

(Visited 24 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button