Nasional

Mansuh hukuman mati: Cara Teresa kaitkan pesalah dadah tidak sesuai – Najib

TINDAKAN Ahli Parlimen DAP Terese Kok menjadikan warga asing yang pernah menyeludup dadah ke Malaysia sebagai contoh kenapa DAP mahu mansuhkan hukuman mati adalah cara kurang sesuai.

Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan Teresa bahawa, ramai keluarga dan nyawa warga Malaysia telah hancur akibat penyalahgunaan dadah.

“Saya faham Teresa Kok ingin publisiti. Tapi saya rasa mempromosikan warga asing yang pernah menyeludup dadah ke negara kita sebagai contoh kenapa DAP mahu mansuhkan hukuman mati adalah cara kurang sesuai.

“Biarpun warga asing tersebut telah menjalani hukuman penjara selama 27 tahun. Perlu ingat bahawa dadah membunuh. Ramai keluarga dan nyawa warga Malaysia telah hancur akibat penyalahgunaan dadah,” kata Najib.

Teresa dalam Facebooknya berkongsi pengalaman menemani seorang warga Hong Kong, Chu Tak Fai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur semalam yang mahu pulang ke negara asalnya selepas bebas dari penjara.

Tak Fai ditahan pada 30 April 1993 kerana mengedar dadah dan dijatuhkan hukuman mati ketika berusia 22 tahun pada 1994.

Dia bagaimanapun diberikan pengampunan dan menjalani hukuman penjara selama 20 tahun dan kini berusia 49 tahun.

Teresa berkata, dia masih ingat ketika menjadi anggota Kabinet bekas Perdana Menteri Tun Mahathir dan bekas Menteri Undang-undang mendiang Datuk VK Liew menerima kecaman kerana mempromosikan penghapusan hukuman mati.

Menurut Teresa, ramai yang mengatakan bahawa penghapusan hukuman mati hanya akan mendorong lebih banyak jenayah dan pemansuhan hukuman mati tidak adil bagi mangsa jenayah.

“Saya masih ingat mendiang VK Liew memberi taklimat kepada Kabinet bahawa terdapat lebih dari 1.200 banduan yang dihukum mati. Di antaranya, lebih daripada 800 adalah sabitan berkaitan dadah.

“Banyak dari mereka seperti Tak Fai, mereka dihukum ketika mereka masih muda, dan mereka telah dipenjarakan selama beberapa dekad dan saat ini sedang menunggu hukuman mati.

“Saya sedikit beremosi untuk menghantar Chu Tak Fai. Bolehkah masyarakat kita meletakkan keadilan dengan belas kasihan yang boleh ditemui dalam diri mereka untuk memaafkan para tahanan ini, sehingga memberi mereka peluang kedua untuk bertaubat dan menebus kesalahan terutama pada masa muda mereka,” kata Teresa.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button