MANIFESTO Barisan Nasional (BN) yang dilancarkan semalam mampu dilaksanakan dan bukan bersifat menjanjikan ‘bulan dan bintang’ bagi meraih undi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, ini kerana manifesto itu digarap berdasarkan inti pati Bajet 2023, dengan tambahan beberapa tawaran baharu yang boleh dijadikan penambahbaikan pada belanjawan itu, dan perlu dibentangkan semula berikutan pembubaran Parlimen tiga hari selepas pembentangannya pada 7 Oktober lalu.
“Kita berpijak di bumi nyata. Apa yang kita bentangkan dalam manifesto adalah berdasarkan bajet (Bajet 2023). Bajet adalah perkara yang boleh kita laksanakan kerana sudah budgeted for atau sudah diambil kira dari segi kewangan dan apa yang dijanjikan adalah sesuatu yang boleh dilaksanakan.
“Kita tidak janji bulan dan bintang. Ini bukan janji melampau hendak membeli undi rakyat, tetapi manifesto yang boleh dilaksanakan. Beberapa perkara baharu (dalam manifesto) akan menjadi panduan untuk kita menambah baik bajet (bajet 2023) yang akan dibentangkan semula,” katanya.
Ismail Sabri yang juga penyandang kerusi Parlimen Bera berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program Kenduri Kampung bersama penduduk Kampung Bohor Baharu, di sini hari ini.
Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) BN yang dibentangkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu menawarkan 99 amal dan usaha BN bagi mengemudi Malaysia ke arah negara maju, jika diberi mandat membentuk kerajaan selepas ini.
Ismail Sabri berkata, manifesto itu juga tidak meminggirkan mana-mana pihak termasuk golongan M40, kerana Bajet 2023 yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebelum ini adalah bersifat menyeluruh.
Sehingga kini hanya BN, Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) sudah mengumumkan manifesto masing-masing bagi PRU15. – BERNAMA