Mangsa banjir terkejut, terharu anak Perdana Menteri bantu bersihkan rumah
SEORANG mangsa banjir di Kampung Dusun Tua, Hulu Langat, Selangor, Daniel Mazlan, terkejut dan terharu apabila anak sulung Perdana Menteri, Datin Nina Sabrina Ismail Sabri adalah antara sukarelawan yang datang membantu membersihkan lumpur di rumah keluarganya yang terkesan akibat bencana banjir.
Katanya, dia tidak menyangka Nina dan suaminya, Datuk Jovian Mandagie sanggup turut berselut dan meredah lumpur yang meliputi seluruh kawasan rumah mereka dan beberapa rumah di sekitar kawasan.
Kehadiran Nina dan Jovian tanpa sebarang protokol dan kawalan keselamatan menunjukkan sikap rendah diri mereka.
“Kami sekeluarga terharu apabila Nina dan Jovian sanggup membersihkan rumah kami dan meninjau keadaan rumah kami yang terjejas banjir,” katanya.
Nina dan Jovian dilihat bersahaja berehat di belakang sebuah trak pikap seusai membersihkan kawasan rumah mangsa banjir.
‘’Kehadiran mereka beserta pasukan sukarelawan yang lain di sekitar kawasan kami secara tidak langsung meringankan beban kami yang sangat terkesan dengan bencana ini,’’ akui Daniel.
Bencana Banjir yang terjadi di kawasan Hulu Langat ini adalah antara yang terburuk pernah berlaku.
Bencana ini telah memusnahkan sebahagian rumah, perabot serta peralatan elektrik selain kenderaan penduduk yang tidak dapat diselamatkan.