BanjirBencana alam

Banjir: 37 kematian di seluruh negara, 10 masih hilang

BANJIR besar yang melanda negara sejak Sabtu lalu telah mengakibatkan kehilangan nyawa seramai 37 orang dan masih terdapat 10 lagi individu yang dilaporkan telah hilang.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, semalam sahaja sejumlah lima kematian dilaporkan melibatkan empat orang dewasa dan seorang kanak-kanak.

“Statistik polis berkaitan kematian banjir adalah berdasarkan laporan polis. Setiap kematian wajib dilaporkan kepada pihak polis mengikut peruntukan Akta Prosedur Jenayah.

“Jadi setiap kematian yang dilaporkan kepada pihak polis akan dicatatkan sebagai statistik yang diterima. Setakat hari ini sejumlah 37 laporan berkaitan kematian yang diterima, itulah laporan yang kita nyatakan. Setiap kematian akan dibuka kertas laporan kematian mengejut,” jelas beliau ketika ditanya angka kematian yang diumumkan berbeza oleh agensi yang berlainan.

Sementara itu Acryl Sani yang bercakap pada sidang akhbar berkaitan banjir di Shah Alam, Selangor, berkata, sehingga kini lebih 68,000 mangsa banjir direkodkan di seluruh negara yang melibatkan kira-kira 18,080 keluarga.

Tujuh negeri masih terkesan dengan bencana tersebut iaitu Pahang yang paling terkesan, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Kelantan.

Sebanyak 369 pusat pemindahan sementara telah dibuka sebagai tempat perlindungan sementara mangsa-mangsa banjir berkenaan.

Tambah beliau sebanyak 137 jalan masih ditutup iaitu 120 di Pahang, dua di Negeri Sembilan, masing-masing tiga di Kelantan dan Selangor.

Dalam pada itu Jabatan Pengairan dan Saliran turut memaklumkan sejumlah 23 lokasi sungai diletakkan dalam keadaan bahaya dan amaran bahaya melibatkan Pahang, Selangor, Johor, Kelantan dan Sarawak.-SM

(Visited 134 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button