HUJAN lebat berterusan menjadikan jumlah mangsa banjir di Sabah meningkat kepada 287 orang pagi tadi berbanding 213 semalam di Kota Kinabalu dan Tuaran.
Susulan penambahan mangsa, sebuah lagi pusat pemindahan banjir (PPB) dibuka hari ini di Sekolah Menengah Agama Tun Said, Kota Belud.
Ini menjadikan keseluruhan enam pusat pemindahan banjir dibuka setakat hari ini.
Lapor Bernama, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi aplikasi InfoBencana memaklumkan PPB tersebut menempatkan tujuh mangsa banjir.
Bagaimanapun, jumlah mangsa di tiga lagi pusat pemindahan banjir di daerah itu tidak berubah sejak malam tadi.
PPB tersebut adalah Dewan Masyarakat Tun Said masih menempatkan 131 mangsa, Dewan Sekolah Kebangsaan Pekan Kota Belud (60) dan Dewan Muhibbah Tombol (9).
Sementara di Tuaran, mangsa banjir yang ditempatkan di Dewan Seri Sulaman meningkat kepada 77 orang berbanding 10 orang malam tadi, di Dewan Masyarakat Menggatal pula kekal dengan tiga mangsa.
Kesemua mangsa banjir tersebut merupakan penduduk di 32 kampung yang terjejas susulan beberapa laluan tidak dapat dilalui oleh semua jenis kenderaan.
Antaranya adalah Jalan Kampung Bobot, Jalan Siasai Tamu dan Jalan Kampung Linau.
Setakat 8.40 malam tadi, seramai 213 mangsa banjir daripada 64 keluarga dipindahkan ke lima PPB di sekitar negeri ini.
Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan notis amaran cuaca buruk di beberapa daerah di Sabah sehingga hari ini manakala pagi ini, cuaca mendung di Kota Kinabalu. – SM