BeritaNasional

Mana pergi tanah rezab, berapa ramai Melayu miliki rumah?

KUALA LUMPUR – Terengganu dan Kuala Lumpur mencatatkan jumlah tanah rezab Melayu kurang daripada 10 peratus berbanding negeri lain Semenanjung Malaysia.

Negeri yang mencatatkan jumlah tanah rezab tertinggi adalah Kelantan sebanyak 86.22 peratus iaitu 1.31 juta hektar tanah berbanding 1.5 juta hektar keluasan negeri.

Disusuli pula dengan Kedah yang mencatatkan 63.65 peratus iaitu seluas 600,087 hektar berbanding keluasan negeri 942.754 hektar.

Negeri ketiga mempunyai tanah rezab Melayu tertinggi adalah Perlis yang memperuntukkan 37,073 hektar iaitu 46.62 peratus daripada keluasan negerinya 79,521 hektar.

Bagi negeri terbesar di Semenanjung, Pahang yang seluas 3.6 juta hektar hanya memiliki 12.14 peratus daripada keluasannya sebagai tanah rezab berjumlah 436,910 hektar sahaja.

Berbanding kedua terbesar di Semenanjung, Perak memperuntukkan 43.59 peratus berbanding keluasannya 2.1 juta hektar iaitu sebanyak 913,982 hektar sebagai tanah rezab.

Sementara bagi negeri lain seperti Negeri Sembilan memiliki 33.92 peratus iaitu 225,897 hektar tanah rezab untuk Melayu dan Johor pula mempunyai 22.61 peratus iaitu 429,387 hektar berbanding keluasan 1,9 juta hektar.

Selangor sebagai negeri penyumbang ekonomi terbesar pula hanya memiliki 20.20 peratus iaitu 225,897 hektar tanah sebagai tanah rezab berbanding keluasan negeri 665,888 hektar.

Reaksi PPIM

Laporan yang diperoleh menerusi Bernama itu mendapat reaksi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang menzahirkan kebimbangan terhadap jumlah tanah rezab Melayu pada hari ini.

Menurutnya, jumlah tanah rezab yang tinggal kini disifatkan sebagai ‘indah khabar dari rupa’ dan mendakwa sejumlah bidang tanah sudah dimiliki oleh orang lain.

“Tanah rezab Melayu seolah-olah ‘indah khabar dari rupa’ ditambah pula dengan dakwaan bahawa hampir empat juta hektar tanah ini sudah ‘beralih tangan’!

“Seolah-olah tiada noktah, tanah rezab yang sepatutnya menjadi sebahagian daripada keistimewaan orang Melayu terus dihimpit kepincangan.

“Janganlah nanti orang Melayu menjadi ‘melukut di tepi gantang’ atau nasib mereka berakhir umpama ‘menang sorak, kampung tergadai’”, katanya menerusi satu kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook hari ini.

Netizen tidak berpuas hati

Kenyataan yang dimuat naik pagi tadi mendapat reaksi lebih seribu pengguna Facebook yang rata-ratanya mempersoal kemana pergi tanah rizab Melayu.

“Negara diperintah oleh orang Melayu, negeri diperintah oleh orang Melayu, jadi kita tahu ia berpunca daripada salah dan kelemahan siapa,” kata Zukhairi Ahmad.

“Kena tanya pengarah Pejabat Tanah dearah masing-masing. Makin hari makin rakus tanah rezab Melayu di teroka tanpa status sah.

“Bukan nak rasis, tetapi dekat tempat saya ini, Cina semakin ramai buka ladang dekat tanah rezab Melayu. Mana pengarah Pejabat Tanah? Sudah disuap dengan wang ringgit ke sampai buat-buat tak nampak semua ini?” luah Saiful Jumahat.

“Tanah rezab Melayu tinggal berapa kerat sahaja. Orang Melayu yang ada tanah tolonglah jangan jual dekat Cina. Tolong sangat-sangat ini dekat kampung aku keliling mereka jual dekat Cina,” komen Mohd. Nizar Harun. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button