Hiburan

Mana ada daif, saya selesa hidup begini -To’ki

Disebabkan orang hendak beri atas dasar simpati, saya terima

PERNAH hidup dalam dunia glamor, disanjung ribuan peminat dan pernah menerima pengiktirafan sebagai penyanyi terbaik di peringkat Asia.

Masa bergulir dengan kehidupan yang pernah dilalui beliau… dari rumah besar ke rumah kecil hinggalah ke sebuah pondok yang terletak di pinggir hutan Batu 12 Gombak. Pada pandangan mata kasar, pondok buruk ini ada bekalan  elektrik tetapi bekalan air perlu diambil dari sungai.

Dalam usia 53 tahun dengan badan yang kurus kering, beliau terpaksa mengangkut air dari sungai untuk diusung ke atas di mana terbinanya pondok yang didiami. Itulah yang dilakukan saban hari oleh penyanyi To’ki.

Menginap di sebuah pondok berdindingkan batang kayu, berlangsirkan kayu buluh dan beratapkan zink. Hanya ada ruang tamu yang kecil dan dapur ringkas yang terletak bersebelahan dengan bilik tidur.

Hidup dalam pondok begini memang seronok untuk sehari dua tetapi mampukah kita tinggal sehingga hampir dua tahun dalam keadaan begitu?

Related Articles
to'ki
Keadaan pondok yang kini menjadi kediaman To’ki bersama isterinya.

Bagi To’ki atau nama sebenarnya Mohd. Zaki Mansur, dia mengakui tenang dan bahagia dengan kehidupan yang dijalaninya sekarang. Apatah lagi insan seni ini pernah hidup dalam keadaan terumbang-ambing selama 12 tahun.

“Sebelum ini pun saya memang sudah datang banyak kali datang ke rumah ini untuk mencari ilham bagi dicurahkan ke dalam karya-karya saya.

“Rasa kurang seronok apabila duduk di luar… itu yang buat saya terpanggil untuk berpindah ke sini,” katanya kepada wartawan SUARA MERDEKA ketika bertemu To’ki di pondoknya, hari ini.

Sementara itu, isteri To’ki, Sharifah Fairuz Syed Yusof, 48, berkata, pada mulanya dia tidak bersetuju untuk tinggal di pondok itu.

Apatah lagi dengan kemudahan yang serba kekurangan namun dicekalkan hatinya untuk tinggal di situ kerana menyedari, sebagai seorang isteri, kedudukannya adalah di sisi suaminya.

to'ki
Ruangan dalam rumah To’ki. Kelihatan dalam gambar ialah isterinya, Sharifah Fairuz.

“Saya ada juga cakap pada dia untuk jadikan rumah ini sebagai tempat persinggahan sahaja. Tetapi To’ki nak tinggal di sini sebab inilah tempat dia mencari ilham.

“Cuma sekarang ini ada rasa sedikit sukar sebab saya baru lepas kemalangan dan kaki patah. Doktor pula menasihati saya agar jangan banyak bergerak.

“Jadi, saya lebih banyak duduk dan kalau nak bergerak, perlu guna kerusi roda. Tetapi susah juga nak keluar sendiri sebab kawasan ini curam. Kena ada yang bantu untuk naik dan turun,” kata Sharifah Fairuz.

Walaupun di mata orang kehidupan To’ki nampak seperti daif, penyanyi yang terkenal dengan lagu Hampa ini enggan menerima apa yang diperkatakan orang di luar sana.

“Saya bukan asnaf dan tidak pernah meminta pada sesiapa pun. Lagi pun saya masih ada kudrat.

to'ki
Keadaan pondok yang terletak di bukit curam agak menyukarkan untuk naik dan turun.

“Walaupun susah, saya bukan ditahap meminta-minta. Saya tidak panggil sesiapa pun datang ke sini. Cuma sebagai manusia, saya kena sentiasa berlapang dada.

“Disebabkan orang hendak memberi atas dasar simpati, saya terimalah. Lagipun itu sudah ketentuan Allah yang saya tak boleh ubah,” ujar To’ki..

Jelasnya lagi, segala sumbangan yang diberikan kepadanya, juga akan diagihkan kepada golongan yang memerlukan.

“Orang nampak saya susah dan beri bantuan kepada saya. Sedangkan ada orang yang hidup lebih susah daripada saya.

“Saya anggap diri sendiri sebagai orang yang dipilih untuk orang simpati dan perlu dibantu. Menerusi bantuan itu jika sudah cukup pada saya, akan diagikan kepada golongan lain yang turut memerlukannya,” katanya.

To'ki

Tambahnya, rasa simpati masyarakat terhadapnya adalah petanda bahawa orang masih sayang pada dirinya.

Begitulah keikhlasan hati seorang To’ki. Dalam kesusahannya, dia tidak pernah mengeluh apatah lagi meminta.

Dia tidak merayu malah terus berusaha. Rezeki yang datang ditadah dengan rasa kesyukuran dan mahu dikongsi bersama dengan mereka yang memerlukan.

To’ki kini masih lagi aktif menyanyi. Setiap hari Khamis pada pukul 12.30 tengah hari hingga 2 petang di Idahlia Corner, Jalan Stonor, Kuala Lumpur.

Setiap Sabtu pula To’ki akan menyanyi di Pak Tam Sri Corner, Jalan Samudera Utama, Batu Caves.

Kalau berkelapangan, pergilah tonton. Kerana bantuan itu bukan sahaja dalam bentuk wang atau harta, tetapi juga sokongan dan semangat. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button