Politik

Mampukah BN rampas semula Parlimen Tangga Batu?

Barisan Nasional (BN) dijangka berpeluang merampas kembali kerusi Parlimen Tangga Batu yang terlepas daripada genggaman kepada calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dalam menghadapi PRU-15 nanti.

Kerusi tersebut mula dipertandingkan pada 2004 menjadi kubu kuat BN sejak PRU-11 hingga PRU13 apabila dimenangi calon UMNO iaitu bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron (2004-2008 dan 2008-2013) dan bekas Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Abu Bakar Mohamad Diah (2013-2018).

Namun apabila tsunami politik membadai seluruh negara menyebabkan parti pemerintah tewas mengejut pada PRU-14 kerusi Parlimen Tangga Batu juga turut kecundang ke tangan calon daripada PH.

Senario terkini berdasarkan kejayaan BN memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, November lalu menyaksikan parti itu menang 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menjadi suntikan untuk memenangi kembali kerusi berkenaan.

Biarpun Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan kepada bekas Presiden UMNO dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang, situasi itu
langsung tidak menjejaskan sokongan rakyat terhadap UMNO.

Sebaliknya, kekuatan UMNO terus dilihat semakin ampuh terutama dalam kalangan ahli akar umbi semakin bersemangat menghadapi PRU-15 yang bakal diadakan pada bila-bila masa.

Sekali lagi persaingan tiga penjuru dijangka berlaku antara BN, PH dan Perikatan Nasional (PN) seperti yang berlaku pada PRU-14.

Penyandangnya dari PH, Rusnah Aluai bakal dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi yangdimenanginya dengan majoriti 4,659.

Itu adalah berdasarkan kejayaan Rusnah menang Ketua Cabang Parti
Keadilan Rakyat (PKR) Tangga Batu pada pemilihan baru-baru ini.

Tidak terkecuali bekas ADUN Paya Rumput, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen antara disebut-sebut akan membawa cabaran PN dalam usaha memenangi kerusi berkenaan walaupun kerusi berkenaan tradisinya
ditandingi calon Pas sejak PRU-11.

Ini dilihat gerak kerja jentera pilihan rayanya telah bergerak ke setiap pelosok Tangga Batu dengan pelbagai program diatur sejak tahun lalu hingga kini.

Begitupun, nama Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kurang disenangi dalam kalangan ahli parti untuk dia bertanding di situ.

Ini kerana Mohd. Rafiq tewas sewaktu bertanding di kerusi DUN Telok Mas pada PRN Melaka.

Bagi BN pula seramai lima calon telah dinamakan oleh UMNO Bahagian Tangga Batu kepada pucuk pimpinan tertinggi parti untuk dinilai bagi memikul tanggungjawab merampaskan kembali kerusi berkenaan.

Persoalannya siapakah calon-calon berwibawa yang menjadi pertaruhan ketika BN berhajat besar ingin menguasai PRU-15 dan sekali gus memerintah negara.

Semua masih berteka-teki malah tidak ada yang berani mengesahkan akan menjadi calon kerana segalanya mungkin berlaku.

Senarai lima nama yang dihantar mungkin nama lain luar dari senarai itu bakal dipilih menjadi calon. Itu antara perkara yang meresahkan dalam kalangan mereka.

Begitupun, jentera pilihan raya diterajui Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad sudah digerakan sejak tahun lalu.

Senario di Melaka mendapati rakyat tidak lagi rela membiarkan PH untuk kembali memerintah seperti mana 22 bulan.

Mereka sudah sedar dan perlu memilih parti yang benar-benar boleh memerintah dengan sempurna terutama BN dan UMNO yang mempunyai rekod cemerlang.

Tidak dinafikan UMNO terus menjadi dokongan masyarakat di Tangga Batu walapun pada PRN Melaka, hanya DUN Sungai Udang terlepas kepada calon PN manakala tiga lagi iaitu Paya Rumput, Klebang dan Pantai Kundor menjadi milik BN. – SM

Keputusan PRU-14 Parlimen Tangga Batu
1. Rusnah Aluai (PH) 32,420
2. Datuk Zali Mat Yassin (BN) 27,761
3. Ustaz Zulkifli Ismail (Pas) 8,961

Majoriti: 4,659

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button