Sukan

MAM harap SOP khas sukan permotoran diluluskan kerajaan

PERSATUAN Permotoran Malaysia (MAM) berharap kerajaan akan memberikan kelulusan terhadap cadangan-cadangan yang dikemukakan untuk prosedur operasi standard (SOP) khas sukan permotoran agar ia dapat ‘menghidupkan’ kembali acara sukan berkenaan dalam negara.

Presidennya, Tan Sri Mokhzani Mahathir berkata MAM sudah menghantar cadangan SOP itu kepada kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi membolehkan perlumbaan peringkat kebangsaan dapat dianjurkan dalam masa terdekat, selepas penganjuran acara sukan itu terus merudum sejak kira-kira sebulan lalu yang memberi kesan terhadap sumber pendapatan ramai.

Beliau berkata, SOP bagi aktiviti sukan dan rekreasi yang antara lain mengehadkan 10 peserta pada satu-satu masa, dan pematuhan kepada jarakan sosial, dilihat kurang sesuai bagi aktiviti perlumbaan kerana ia sering kali membabitkan anggota pasukan, paramedik, marshal, dan jurutera, selain pelumba.

Menurutnya, mekanik dan jurutera tidak dapat mematuhi peraturan jarakan 1.5 meter ketika menyediakan pelumba serta jentera mereka untuk berlumba.

“Kita masih belum pasti bila perlumbaan akan diadakan semula kerana kita perlu mendapat kelulusan daripada kerajaan terlebih dahulu. Sebaik sahaja SOP diluluskan, kita memerlukan dua atau tiga bulan bagi menganjur satu-satu perlumbaan, terutama apabila ia membabitkan siaran televisyen.

“Selepas berada dalam keadaan paling teruk, trend kini nampak agak baik. Kita sedang buat latihan dan ujian. Sekiranya tiada kluster baharu, kita optimis perlumbaan boleh diadakan kembali pada September,” katanya dalam persidangan media secara maya semalam.

Difahamkan MAM sudah menghantar cadangan SOP ketiga minggu lalu, yang turut merangkumi garis panduan secara bertulis dan paparan video.

Mokhzani berkata antara perkara yang perlu diberi perhatian ada suasana perlumbaan di kawasan terbuka, ruang pergerakan luas, dan kawasan khas bagi menempatkan petugas dan kru; dengan perlumbaan dimulakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) terlebih dahulu, sebelum diteruskan di litar lain seperti di Tangkak dan Gong Badak.

“Kita akan bermula dengan perlumbaan go-kart, diikuti dengan Siri National Malaysia Championship Series (MCS) dan Cub Prix di SIC, sebelum meneruskannya di litar lain. Kita ada banyak kawalan (berhubung pematuhan SOP) terutama di Sepang.

“Itu sebabnya kita akan bermula dari sana, dan menggunakan SOP yang sama di litar yang seterusnya,” katanya.

Sementara itu merujuk kepada MotoGP, beliau berkata berdasarkan kepada laporan di Eropah, pemegang hak MotoGP, Dorna Sports, mahukan supaya perlumbaan Malaysian GP yang dijadualkan berlangsung pada November ini dianjurkan dengan tontonan ramai, sedangkan kerajaan ketika ini masih menghalang perhimpunan ramai dan rentas sempadan.

“Kami masih berharap MotoGP akan tiba di Malaysia. Mereka masih berbincang mengenai aspek penonton di Malaysia. Kita tidak pasti apa yang akan diputuskan oleh kerajaan,” katanya.

MAM berhadapan dengan kerugian kira-kira RM457,000 disebabkan oleh pembatalan dan penangguhan acara sukan permotoran, manakala pegawai perlumbaan termasuk marshal, pengendali dan pemeriksa trek dijangka mengalami kerugian sehingga kira-kira RM1.7 juta dari segi pendapatan selepas semua aktiviti trek dihentikan susulan penularan COVID-19.– BERNAMA

(Visited 317 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button