Malaysia tak akan jadi tong sampah dunia
MALAYSIA tidak akan jadi negara yang menempatkan sampah dari seluruh dunia. Itu ikrar Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man dalam Dewan Rakyat hari ini.
Tuan Ibrahim menegaskan pendirian untuk menghantar semula sampah berkenaan ke negara asal.
Beberapa hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu, kementeriannya, kata Tuan Ibrahim telah mengesan 13 kontena yang mengandungi sisa toksik dan 42 kontena lagi yang mengandungi bahan plastik.
“Malaysia tidak akan menjadi tong sampah dunia. Kita akan bertindak tegas terhadap sebarang unsur yang cuba bawa masuk kontena sisa toksik dan plastik serta sebagainya ke dalam negara kita.
“Saya sendiri turun ke Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor setelah dapat maklumat ada 110 kontena dan kini dalam pengurusan untuk menghantar semula ke negara asal iaitu Romania,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab kenyataan Ahli Parlimen Kuala Krai (PN-PAS) Abdul Latiff Abudl Rahman yang mempersoalkan bagaimanakah cara kementerian mengatasi dan mencegah masalah itu.
Tuan Ibrahim berkata, antara negara-negara terlibat menghantar bahan plastik adalah Amerika Syarikat, United Kingdom, Vietnam dan Korea Selatan.
“Malaysia mesti bebas dari elemen-elemen ini kerana kita sudah menandatangani konvensyen Basel,” katanya.
Usaha untuk menghantar semula sisa toksik dan bahan plastik ke negara asal giat dilaksanakan sejak pentadbiran lepas.
Pada Januari lalu, kementerian memaklumkan 150 kontena sisa pepejal plastik dianggarkan 3,737 tan metrik berjaya dihantar pulang ke negara asal sejak suku ketiga tahun lalu dan tidak membabitkan sebarang implikasi kewangan kepada kerajaan. – FMT – SM