Ekonomi

Malaysia Seru Kerjasama ASEAN Hadapi Cabaran Perdagangan Global

Malaysia menyambut baik keputusan Amerika Syarikat (AS) untuk menggantung sementara tarif tinggi ke atas rakan dagangannya, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau menyifatkan ketidaktentuan dasar perdagangan global, termasuk tarif timbal balik yang diperkenalkan sebelum ini, sebagai cabaran utama kepada ekonomi negara-negara ASEAN.

“Perkembangan ini akan menjadi antara fokus utama dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) yang saya pengerusikan hari ini,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, Malaysia komited untuk bekerjasama rapat dengan rakan-rakan ASEAN dalam menangani gangguan rantaian bekalan, memperkukuh daya tahan ekonomi serantau, dan menyuarakan kepentingan mewujudkan hubungan perdagangan yang adil serta stabil.

Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia akan terus kekal sebagai rakan dagang dan pelaburan yang terbuka kepada semua negara, termasuk AS dan China.

“Malaysia akan terus meneroka pasaran baharu, mempelbagaikan strategi dagangan serta memperkukuh hubungan sedia ada bagi mengekalkan daya saing dan melindungi kemakmuran negara dalam landskap ekonomi global yang semakin kompleks,” jelas beliau.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button