Ekonomi

Malaysia mungkin tidak mengalami kemelesetan ekonomi

PENGERUSI Bukan Eksekutif Bursa Malaysia, Abdul Wahid Omar berkata, dasar pragmatik dan responsif serta ekonomi yang strukturnya menjadi pelbagai sejak beberapa tahun ialah faktor yang boleh menghalang Malaysia daripada mengalami kemelesetan.

Wahid berkata, satu faktor penting yang menyumbang kepada daya tahan Malaysia ialah sistem kewangannya yang kukuh dan stabil.

“Bank-bank Malaysia mempunyai permodalan yang kukuh, cair serta diurus dengan lebih baik dan ia dikawal selia dan dipantau dengan berkesan oleh Bank Negara Malaysia,” katanya dalam ucapan pada forum InvestMalaysia hari ini seperti dilaporkan FMT.

Bulan lepas, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, prospek ekonomi Malaysia mungkin terjejas oleh pesimisme dalam ekonomi global walaupun kerajaan mengekalkan unjuran pertumbuhan sedia ada.

Bloomberg memetik beliau sebagai berkata, Malaysia mesti bersedia menghadapi kelembapan ekonomi global walaupun ekonomi negara berkembang kukuh berikutan pembukaan semula sempadannya dan di tengah-tengah eksport yang berkembang pesat.

Bagaimanapun, Wahid menegaskan, sistem kewangan negara dilengkapi dengan pasaran hutang dan ekuiti yang berfungsi dengan baik bernilai RM3.5 trilion pada akhir 2021.

“Malaysia juga menjadi tuan rumah kepada pasaran modal Islam terkemuka dunia, bernilai RM2.3 trilion, iaitu hampir dua pertiga daripada (nilai) jumlah pasaran modal,” katanya.

Namun begitu, cabaran tetap wujud.

Bekas menteri hal ehwal ekonomi itu menyatakan bahawa rantaian bekalan global mengalami tekanan apabila ekonomi kembali normal selepas wabak, diburukkan lagi oleh ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China serta konflik Ukraine-Rusia.

Beliau berkata, faktor-faktor ini menyebabkan harga komoditi dan logistik melonjak, seterusnya menyebabkan tekanan inflasi tinggi yang memaksa bank pusat di seluruh dunia mengetatkan dasar monetari masing-masing.

Ini termasuk Malaysia, yang menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.5% bulan ini, kenaikan kali ketiga berturut-turut tahun ini. Bagaimanapun, menurut Wahid, China terkecuali.

“Ini berkemungkinan menyebabkan kelembapan ekonomi dan potensi kemelesetan di sesetengah negara pada 2023,” katanya.

Beliau menjangkakan Malaysia tidak mengikut trend itu.

“Daya tahan harus ditakrifkan semula sebagai hasil daripada proses transformasi atau penciptaan semula, supaya kita boleh kekal dan ‘melantun semula’, tetapi dalam keadaan yang lebih baik berbanding dengan sebelum ini,” katanya.

“Proses ‘penciptaan semula’ ini, untuk mencari kedudukan kompetitif kita dalam masa hadapan itu, bukan semata-mata usaha akademik atau berasaskan data, tetapi memerlukan bakat juga,” katanya sambil menambah, generasi pemimpin akan datang mesti membawa perspektif baharu kepada sektor korporat. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button