Ekonomi

Malaysia diunjur catat pertumbuhan 6.6 peratus pada tahun depan

KADAR pertumbuhan Malaysia dijangka pulih sekitar 6.6 peratus pada tahun depan berikutan peningkatan perbelanjaan di peringkat domestik mahu pun asing.

Ketua Pegawai Eksekutif Asia Pacific Investment Bank (APIB), Chris Wang bagaimanapun berkata unjuran itu turut dipengaruhi oleh perkembangan membabitkan penularan COVID-19, kestabilan politik serta peningkatan permintaan terhadap eksport negara.

“Susulan peningkatan permintaan domestik dan harga minyak, kadar inflasi Malaysia dijangkakan bertambah sedikit kepada 1.1 peratus selain terdapat kadar pemulihan dan pembangunan yang tidak setara dalam sektor domestik yang berbeza,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Wang, sektor pembuatan dan pengangkutan misalnya akan menyaksikan permintaan yang terus meningkat manakala sektor automotif dijangka pulih namun sektor peruncitan akan berdepan cabaran dalam jangka pendek.

“Industri teknologi maklumat (IT) akan kekal sebagai penerima terbesar manfaat perkembangan masa kini berikutan pelbagai industri terus menggunapakai teknologi terkini dengan model perniagaan baharu seperti data raya, kecerdasan buatan (AI) dan generasi kelima (5G).


“Namun industri pelancongan dan syarikat penerbangan sebaliklnya akan menghadapi cabaran getir dalam tempoh jangka pendek sehingga pertengahan berikutanb kebergantungannya terhadap perbelanjaan domestik yang menjadikan pemulihan kepada paras pra-COVID-19 menjelang 2023 itu sebagai amat mencabar,” katanya.

Wang berkata, sektor tenaga pula diunjur mengalami penyusutan dalam jangka masa terdekat dari segi harga serta perolehan yang dikaitkan dengan tekanan membabitkan jualan hartanah kediaman.

Sehubungan itu, beliau berkata para pelabur berpendirian untuk lebih berhati-hati meletakkan keseluruhan modal mereka ke atas satu portfolio tunggal dan bertindak memperluaskannya berbanding mempraktikkan konsep pelaburan jangka pertengahan dan panjang bagi menangani impak negatif jangka pendek akibat ketidaktentuan pasaran.

Beliau turut menyarankan rakyat Malaysia agar meninjau peluang pelaburan di negara-negara Asia yang menikmati kadar pemulihan lebih pantas seperti di China, Jepun, Korea Selatan dan sebagainya.

“Susulan pengaruh daripada perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), pelabur boleh mempertimbang untuk meningkatkan pelaburan mereka dalam rantaian perindustrian pembuatan serantau terutama yang berkaitan serta terjejas oleh impak perang perdagangan Amerika Syarikat-China.

“Malah, dengan memanfaatkan keadaan itu akan dapat meningkatkan status Malaysia sebagai hab penghantaran dan transit selain meningkatkan hasil eksport negara ini,” katanya. – BERNAMA

 

(Visited 45 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button