Nasional

Malaysia berada di landasan yang betul, berkat kerajaan PN

PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin Malaysia mampu keluar dari kesan pandemik Covid-19.

Beliau berkata, selaku Pengerusi  MPN, beliau juga yakin aktiviti sosial ekonomi negara akan bertambah rancak, komprehensif, teratur dan lestari.

“Setiap rakyat dapat merasa nikmat dan manfaat wawasan kemakmuran bersama 2030.

“Tahun ini adalah tahun pemulihan Malaysia. Hari Malaysia yang kita sambut hari ini adalah hari istimewa kerana kita pasang azam dan iltizam untuk keluar dari pandemik dan kita tinggalkan ketakutan, kita bangkit daripada kepedihan setahun lampau,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian dalam ucapannya sebagai Pengerusi MPN sempena Hari Malaysia 2021 melalui platform penstriming di Facebook.

Dalam ucapannya, Muhyiddin turut mengimbau mereka yang hilang insan tersayang kerana menjadi korban Covid-19 dan diri sendiri menjadi mangsa pandemik itu.

Katanya, episod duka akan berlaku dan kita semua akan teruskan kehidupan.

“Negara berada di landasan yang betul. Ketika saya menjadi Perdana Menteri, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sejak awal tahun lalu telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang samar-samar

dan sekarang tanda pemulihan pandemik semakin jelas.

“Paling ketara, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). Kadar vaksinasi negara antara terpantas di dunia. Terkini lebih 73.4 peratus populasi dewasa Malaysia atau lebih 17 juta individu sudah lengkap divaksin manakala 91.3 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos. Ini bermakna kita sudah semakin hampir untuk mencapai imuniti kelompok,” ujar beliau.

Selari dengan pencapaian program imunisasi ini, kata Muhyiddin, kita melihat aktiviti sosial ekonomi kembali rancak.

Kesemua negeri kecuali Johor dan Kedah telah beralih dari Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang menyaksikan pergerakan rakyat lebih bebas dengan tertakluk kepada SOP kesihatan yang masih berkuat kuasa, katanya.

Telah banyak kelonggaran diberikan dan tambah Muhyiddin lagi, terbaharu, Gelombang Perjalanan diperkenalkan untuk menggiatkan semula sektor pelancongan dengan Langkawi menjadi destinasi pertama.

“Saya difahamkan tempahan hotel sudah penuh dan ini adalah langkah yang terbaik bagi sektor pelancongan negara kita,” ujar beliau.

Muhyiddin berpesan, dengan pembukaan banyak sektor sosial dan ekonomi tidak bermakna perang melawan Covid-19 sudah tamat.

“Kita terus berwaspada kerana kemunculan varian baru lebih ganas dan terus ancam nyawa. Jangan kita bersikap sambil lewa walaupun pandemik diistihar sebagai endamik.

“Terus lindungi diri, orang tersayang dan negara,” katanya.  – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button