Merrepak

‘Make or break’ masa bencana

  1. Saya pasti dalam setiap senarai kawan media sosial anda ada yang saban masa posting pasal politik. Tak mempedulikan Covid-19 atau hal dunia yang lain. Kelompok ini jiwa raganya memang berpolitik 24 jam tujuh hari seminggu. Apakah perasaan anda? Meluat, menyampah atau buat tidak tahu, mungkin juga suka sebab sehati sejiwa?
  2. Persoalan yang harus ditanya ialah apakah tindakan mereka itu salah daripada segi tatasusila media sosial (adakah wujud tatasusila pun?). Mungkin lebih tepat, melanggar privasi anda dalam media sosial? Soalan susulan ialah apakah tindak balas anda? Jawab balik dan berdebat di khalayak digital atau unfriend saja?
  3. Boleh jadi soalan di atas bagaikan cliche dan retorik, saya cuba bersikap pragmatik dalam hal ini. Sebagai pengamal media dan mengikuti rapat arena politik negara, saya biarkan sahaja insan politik di dalam media sosial saya, yang terhad kepada Facebook, LinkedIn dan Twitter sehingga kini.
  4. Dua-dua saya ada, penyokong kerajaan dan pembangkang di dalam media sosial saya. Ada juga satu lagi kelompok iaitu yang belasah apa sahaja yang menganggu aturan dan gaya hidupnya tanpa melihat bendera. Kelompok ini rata-ratanya golongan milenial yang bergantung nyawa kepada media sosial.
  5. Dalam kebanyakan masa, saya mengikuti setiap tulisan insan-insan politik ini. Ada yang totok politik kerana memang memegang jawatan parti. Ada yang pekerja swasta dan kerajaan, yang mendakwa diri sebagai celik politik. Ada pesara, ada juga yang lanjut usia yang baru merasa nikmat bermain Facebook dan jadi hyper bila menerima reaksi umum. Mereka terpana dek kerdipan kejora media sosial. Ada yang seronok dibaca kerana ayat diguna puitis dan berlapik, ada juga yang menghampiri sempadan nyanyuk atau buta hati sebab hanya merasa diri mereka sahaja yang betul.
  6. Tidak apa. Saya tidak unfriend mereka sebab saya perlu mengetahui keluh-kesah kedua-dua pihak. Jika hujahnya bagus dan bernas, tidak kira bendera parti saya akan klik Like. Ada sahabat bertanya mengapa saya tidak mengutus hal politik di Facebook? Saya jawab sudah terlalu ramai ahli politik Facebook. Memadailah saya sekadar jadi pemerhati. Baca ala kadar, hati tidak sakit. Lagi pun, hidup ini terlalu singkat hendak sakit hati.
  7. Namun, dalam pada keasyikan menaip ayat-ayat politik itu, kita kena tengok sikitlah situasi semasa, terutama ketika negara berdepan dengan pandemik Covid-19 ini.
  8. Kita jadi sangat tidak faham mengapa pihak berwajib di barisan depan negara, dikritik dalam nada yang tidak wajar sama sekali. Ada yang membela mengatakan kritikan itu perlu supaya kerajaan sedar. Sedar apa kalau dakwaan yang dilemparkan itu kemudiannya didapati tidak berasas, malah lembaga pengarah entiti pun memohon maaf. Apa sebenarnya niat jika tidak sekadar bermatakan politik?
  9. Jika mengikut teori politik, situasi bencana atau peperangan adalah situasi yang `make or break’ seseorang pemimpin atau kerajaan. Masih ingatkan kejadian sungai dicemari toksik di Pasir Gudang tahun lalu? Betapa kerajaan ketika itu dikritik teruk kerana dilihat teragak-agak untuk mengisytiharkan Pasir Gudang sebagai zon bencana.
  10. Alasan diberikan bencana itu terkawal, selain faktor ekonomi kerana Pasir Gudang adalah kawasan perindustrian besar di Johor. Tindakan menutup daerah itu dilakukan hanya selepas beratus-ratus pelajar dan penduduk jatuh sakit akibat terhidu gas toksik. Bukan sahaja rakyat membidas kelewatan kerajaan tetapi juga mendatangkan reaksi daripada Istana Johor.
  11. Perkara hampir serupa dalam konteks Covid-19 ini. Ketika mula pecah berita mengenai wabak di China, kerajaan ketika itu tidak menganggapnya serius atau dilihat cukup serius. Tidaklah boleh diagak apa yang akan berlaku jika `Langkah Sheraton’ tidak berlaku.
  12. Pasti akan ada yang mahu marah bila disebut `Langkah Sheraton’ ini. Kerajaan pintu belakanglah, kerajaan bukan dapat mandat rakyatlah. Sebagai pemerhati, saya tidak semestinya setuju dengan hujah tersebut walaupun saya berpegang pada prinsip sebuah kerajaan yang legitimate hendaklah menerima mandat sepenuhnya dari rakyat untuk memerintah. Tetapi…. ya ada tetapinya.
  13. Tetapi bila kerajaan yang diberi mandat itu gagal melaksanakan tugasnya dengan baik, masih mahu dipulihara lagikah? Semua tahu detik-detik dan timeline `Langkah Sheraton’. Siapa yang mendesak Tun Dr. Mahathir Mohamad meletak jawatan? Siapa yang beriya-iya mahu mengambil alih kerusi itu? Bagaimanakah boleh kerajaan tersebut berfungsi ketika Perdana Menterinya diasak bertubi-tubi kanan dan kiri. Kemudian Tun Dr. Mahathir letak jawatan. Itulah hari Sabtu yang paling memeningkan dalam sejarah negara! Lepas letak jawatan, tak jadi. Kemudian jadi. Tiba-tiba Tan Sri Muhyiddin Yassin naik.
  14. Sebagai pemerhati, saya lihat UMNO dan Pas tidak lain tidak bukan, hanyalah parti yang tumpang sekaki untung. Itu sahaja. Ini kerana kita semua tahu, pergaduhan di dalam pakatan kerajaan itu berpunca daripada dalaman mereka sendiri. Yang mengasak adalah kalangan mereka sendiri. Yang mendesak, sesama peneraju parti. Yang terhimpit Parti Bersatu dan kemudian merasa satu-satunya kaedah keluar daripada kemelut ialah membentuk kerajaan baharu dengan UMNO dan Pas.
  15. Yang sepatutnya dimarah ialah mereka yang mendesak Tun meletak jawatan. Yang patut dikritik ialah peneraju-peneraju parti komponen yang mengakibatkan keharmonian pakatan jadi hancur lebur. Tetapi yang anehnya, penyokong pembangkang sekarang lebih selesa membidik senjata terhadap Bersatu, UMNO dan Pas.
  16. Dalam kebanyakan situasi, tiada siapa akan melepaskan peluang seperti yang terhidang buat UMNO dan Pas. Ini peluang untuk membentuk kerajaan. Ini peluang untuk mengusir musuh politik. Ini namanya politik. Jika benda ini diterbalikkan, dengan peluang sedemikian terhidang kepada pembangkang hari ini, tentu mereka akan rebutnya juga. Matematik mudah.
  17. Pakatan Bersatu-UMNO, Pas ini sememangnya aneh kerana ia menepati definisi `marriage of convenience’. Di peringkat negeri, ada kem dalam Bersatu yang tidak mengiktiraf kepimpinan Pusat. Tidak pastilah apakah Covid-19 ini suatu rahmat tersembunyi buat semua pihak kerana kebanyakan kita menumpu kepada soal kesihatan dan keselamatan negara, tidak sangat kepada perbalahan politik.
  18. Sudah lebih 3 minggu negara diletakkan dalam perintah kawalan pergerakan, ramai yang yakin dengan tindakan dan keputusan berani kerajaan. Tiada pemberontakan kerana kelihatan kerajaan sedaya-upaya meliputi semua aspek dengan penyediaan wang bantuan, moratorium dan sebagainya. Dalam kegelisahan dan rimas duduk di rumah ini, setidak-tidaknya hati dapat ditenangkan bahawa nyawa kita dijaga oleh kerajaan dengan sebaik-baiknya. Ini yang penting. Rakyat yakin terhadap kerajaan Muhyiddin.
  19. Jadi bila ada yang mengkritik pihak berkuasa tak semena-mena ini, mungkin boleh kita abaikan sahaja. Yang posting perkara-perkara tidak benar, video palsu itu, haruslah diambil tindakan undang-undang tanpa mengira siapa mereka. Yang menganjurkan acara tidak manis ketika Covid-19 ini, eloklah mendapatkan nasihat perunding daripada kalangan yang benar-benar profesional supaya tidak lagi menjadi bahan ketawa.
  20. Teori `make or break’ semasa bencana atau peperangan ini diketahui ramai, malah kumpulan jenayah terancang Itali pun dilaporkan telah dilihat menghantar bantuan makanan di kawasan kejiranan yang diketahui memiliki elemen mafia. Itu mafia. Apatah lagi untuk orang yang cenderung cita rasa politiknya. Seboleh-bolehnya akan menggunakan apa saja kesempatan untuk meraih markah dalam kalangan rakyat jelata.
  21. Jadi, pandai-pandailah ya. Akhir Merrepak hari ini, saya mahu meneruskan tontonan House of Cards yang tinggal beberapa episod sahaja lagi setelah menonton secara marathon sejak minggu lalu. Tak boleh terima drama Korea sebab saya tak suka menonton sambil terpaksa membaca sarikata. – SM

Penulis berpengalaman lebih 27 tahun dalam bidang kewartawanan dengan peranan terakhir sebagai Pengarang Eksekutif Utusan Malaysia. MERREPAK adalah kolum bermula 2009 dalam Mingguan Malaysia dan kini bertapak di SUARA MERDEKA. www.suaramerdeka.com.my

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button