Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) mensasarkan sekurang-kurangnya satu pingat emas akan dibawa pulang oleh skuad karate negara menghadapi temasya Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China dijadual berlangsung dari 23 September hingga 8 Oktober ini.
Presidennya, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, sasaran itu dianggap realistik dalam usaha memecah kebuntuan tanpa sebarang kilauan pingat selama 12 tahun pada tiga temasya sukan berkenaan diadakan sebelum ini.
Menurutnya, berdasarkan prestasi atlet karate negara menuai empat emas, dua perak dan lima gangsa pada Sukan SEA Kemboja 2023 berakhir baru-baru ini, menunjukkan peluang meraih kilauan pingat di Hangzhou adalah cerah.
“Di Kemboja kita sasar tiga emas tetapi atlet raih empat emas adalah satu kejayaan yang menyuntik semangat atlet khususnya menghadapi Sukan Asia di China nanti.
“Selama 12 tahun kita kemarau sebarang kilauan emas di Sukan Asia dan kali ini Makaf sasarkan sekurang-kurangnya satu pingat emas boleh dibawa pulang dan mungkin lebih dari itu.
“Melihat kepada prestasi atlet negara di Kemboja saya tidak menolak kemungkinan ada sinar untuk karate menyumbang emas untuk kontinjen negara di China September ini,” ujarnya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Kampung Atap Ujong Pasir
di sini malam tadi.
Hadir sama Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam; Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin.
Mengulas lanjut Nur Azmi berkata, Kejohanan karate Senior Asia ke-19 dan Kejohanan Para Karate
Asia Ke-2 di Melaka dari 21 hingga 23 Julai akan menjadi pentas utama untuk memilih atlet karate terbaik bagi membawa cabaran skuad negara di Hangzhou nanti.
Bagaimanapun katanya, jumlah atlet yang akan dipilih ke Sukan Asia masih belum diputuskan oleh pucuk pimpinan tertinggi Makaf.
“Mereka yang cemerlang di kejohanan Piala Asia Julai ini akan menjalani latihan pesat selama sebulan di Jepun sebagai persiapan rapi menghadapi Sukan Asia September nanti,” ujarnya.
Menurutnya, seramai 1,500 atlet dari 45 buah negara akan menyertai Kejohanan Karate Senior Asia Ke-9 dan Kejohanan Para Karate Ke-2 yang julung-julung kali diadakan di negeri ini dengan mendapat kerjasama daripada kerajaan negeri. – SM