Agama

MAIPs sumbang RM120,000 kepada Teratak Rahmat

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyumbangkan peruntukan tahunan berjumlah RM120,000 kepada Teratak Rahmat Jalan Mata Ayer Perlis dalam satu majlis simbolik penyerahan yang diadakan di Masjid Al Rahman, Kampung Belukar.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyaksikan penyerahan tersebut daripada Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Hj Mohd Nazim Mohd Noor kepada Pengerusi Teratak Rahmat, Ustaz Muhammad Ihsan Idris.

Teratak Rahmat adalah sebuah rumah kebajikan yang menjaga dan menempatkan anak-anak yatim dan anak yg terbiar atau dari keluarga bermasalah. Tujuan penubuhan Teratak Rahmat adalah untuk memastikan agar kebajikan dan pelajaran penghuni rumah tersebut terpelihara.

Ia merupakan badan muafakat yang diberikan kuasa autonomi di bawah Persatuan Al-Islah Perlis, sebuah pertubuhan bukan kerajaan berteraskan agama dan kerohanian yang terbesar di negeri ini.

Terdahulu daripada itu Tuanku Raja Muda turut berkenan menyerahkan sumbangan MAIPs berjumlah RM12,200 kepada seramai 28 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah masjid tersebut. Masing-masing menerima RM400 setiap seorang untuk diagihkan melalui amilnya Hadan Jusoh.

Tuanku Syed Faizuddin Putra selepas itu menitahkan peringatan kepada semua supaya tidak sekali-kali leka dengan ancaman Covid-19 walaupun kini datanya menunjukkan trend penurunan terutama sekali menjelang perayaan Lebaran Aidilfitri tidak lama lagi apabila sanak saudara dan sahabat handai saling kunjung berkunjung untuk berhari raya. ‘Sentiasalah menjaga kesihatan dan kebersihan. Ini adalah kerana kesan Covid-19 berbeza kepada setiap orang. Justeru, teruslah menjaga kebersihan seperti sentiasa mencuci tangan dan sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat dengan pengambilan vitamin serta makanan sihat. Pada masa yang sama dapatkanlah suntikan penggalak. Kekalkanlah sihat terutama apabila tugas seseorang itu memerlukan banyak komunikasi dengan masyarakat. Justeru, pengambilan dos penggalak adalah penting bagi memastikan perlindungan yang optimum dapat dicapai terhadap jangkitan seterusnya dapat mewujudkan imuniti kelompok di dalam keluarga, organisasi serta komuniti setempat.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button