Sebagai sebuah organisasi yang melangkaui usia 100 tahun, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sentiasa mempertingkatkan usaha bagi memberikan khidmatnya kepada ummah.
Pada kurun kedua era penubuhannya, MAIPs dilihat harus sentiasa disayangi, disegani dan berada pada tahap yang tinggi di sisi masyarakat.
Oleh itu, dalam usaha menonjolkan ‘wajahnya’ sebagai organisasi yang utuh, di sinilah wujudnya keperluan bagi MAIPs merancang agihan yang berfokus dan terarah dalam mempertingkatkan lagi kesejahteraan rakyat.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena sesi ‘Bengkel Agihan Holistik MAIPs 2.0, Tahun 2021” yang diadakan menerusi platform digital dari Dewan Kulliyah MAIPs Behor Temak, Kangar.
Baginda yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua majlis berkenaan berharap agar MAIPs dapat melaksanakan ‘10 Sasaran Pencapaian MAIPs’ seperti diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis ketika Istiadat Sambutan 1 Kurun MAIPs pada 17 November 2020 yang lalu.
Pada masa yang sama Tuanku Syed Faizuddin Putra berharap agar melalui bengkel ini juga, pengesahan kebolehlaksanaan cadangan Pengurusan MAIPs atau mengemukakan sebarang cadangan penambahbaikan dalam melaksanakan inisiatif-inisiatif agihan zakat secara holistik berdasarkan kluster yang telah diwujudkan meliputi aspek konsep inisiatif, keutamaan impak dan juga bajet, tahun tindakan dan pengawasan pelaksanaan serta penanggungjawaban bagi tujuan pembangunan berdasarkan lonjakan ‘Objektif Strategik Pertama’ (Pemantapan Agihan Holistik 2.0) dalam ‘Pelan Strategik MAIPs 2021-2025’ dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin.