Nasional

MAIPs komited manfaatkan wakaf dan zakat demi kesejahteraan rakyat

Majlis Agama Islam dan Adat istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sentiasa komited untuk memanfaatkan sumbangan wakaf dan zakat demi melestarikan pelbagai inisiatif dan program kesejahteraan rakyat.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat menyempurnakan program MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf untuk kali ke-47 bagi tahun 2020.

Titah baginda lagi, sesuatu sumbangan sama ada wakaf atau zakat sudah pasti diberikan oleh para dermawan yang budiman untuk diurus dengan sebaiknya, sekaligus dapat mempertingkatkan lagi tahap sosio ekonomi ummah.

“Atas maksud itulah MAIPs sentiasa mencari jalan untuk melestarikan hasrat murni para penyumbang agar agenda pemerkasaan rakyat dapat sentiasa direalisasikan”, titah baginda lagi.

Tuanku Syed faizuddin Putra yang juga merupakan Tuanku Yang Dipertua MAIPs turut berkenan berangkat untuk meninjau tapak cadangan bagi penubuhan sebuah pusat latihan dan kemahiran asnaf di bawah seliaan Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) di bangunan lama Masjid Kg Sempering dekat Kangar.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor yang mengiringi baginda dalam kunjungan tersebut, perancangan usahasama oleh ATAM bagi penubuhan pusat berkenaan bersama pihak Walta Centre of Excellence (WCOE) disasarkan menjadi pemangkin dalam mewujudkan golongan asnaf yang produktif dan berdaya saing, serta bersedia melahirkan para pekerja mahir dan separa mahir dalam teknologi, dan automasi untuk pasaran industri.

(Visited 162 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button