RAJA Muda Perlis,Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah para penyumbang zakat yang telah memberikan sumbangan melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sangat dihargai serta turut meminta agar semua pihak menyantuni para penerima zakat di negeri ini.
Baginda bertitah, MAIPs sentiasa menghargai dan berterima kasih kepada semua penyumbang yang bermurah hati menunaikan kewajipan berzakat melalui MAIPs.
Demikian titah Tuanku Raja Muda ketika berangkat ke Majlis Apresiasi Penyumbang Zakat Potongan Gaji Tahun 2023 di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail Kangar baru-baru ini.
Menurut Baginda, semua pihak perlu memainkan peranan bagi sama-sama menjayakan hasrat kesejahteraan rakyat negeri ini.
“Pada kesempatan ini juga, Beta memohon semua pihak di negeri ini untuk terus membantu melaporkan kepada MAIPs jika ada terdapat isu keciciran asnaf dalam kariah masing-masing yang belum disantuni supaya usaha-usaha bagi mengenalpasti keperluan bantuan dapat dilaksanakan oleh MAIPs dan Agensi Bantuan bersamanya dalam kadar segera”, titah Baginda.
Keberangkatan Baginda yang diiringioleh anakanda bongsu, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail itu disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Pada majlis berkenaan Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyampaikan Anugerah kepada Organisasi-organisasiTerbaik dalam Pengurusan Potongan Zakat Gaji melalui MAIPs.
Penerima Anugerah Jabatan Kerajaan Terbaik adalah Jabatan Kesihatan Negeri Perlis manakala Badan Berkanun terbaik disandang oleh Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Bagi kategori Syarikat Swasta dan Korporat pula, diungguli oleh Perlis Plant Negeri Sembilan Cement Industries Sdn Bhd manakala pemenang Kategori Sekolah terbaik diperolehi oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Alwi dan Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Budriah.
Pada majlis berkenaan juga Baginda turut menyerahkan sumbangan 50 komputer riba kepada sekolah-sekolah terpilih di bawah Program Sekolah Amanah Jamalullail dan 71 basikal kepada para peserta terbaik dalam Program Rezeki Subuh yang dilaksanakan sepanjang cuti persekolahan panjang baru-baru ini anjuran MAIPs dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs). – SM