Nasional

MAIPs dan YTF kerjasama anjur seminar wanita

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bersama-sama Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) akan menganjurkan satu program seminar wanita secara dalam talian pada selasa, 26 Oktober 2021 yang akan datang ini bermula pada jam 9 pagi.

Seminar selama sehari ini bertujuan bagi memberikan kesedaran kepada golongan wanita supaya sentiasa menyahut cabaran dan pada masa yang sama terus memperkasakan serta menyuntik kembali semangat juang meskipun ada yang dilanda masalah ketika pandemik Covid-19 supaya terus dapat menyumbangkan peranan serta tenaga bagi pembangunan diri, keluarga, negeri dan juga negara.

Demikian dititahkan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menziarahi dan menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada asnaf Sariah Subuh, 54, yang tinggal bersama seramai 7 orang anak-anaknya di Kampung Tepi Sungai, Jalan Padang Behor, Kangar.

Sariah yang merupakan salah seorang penerima ‘Bantuan Sara Hidup Berkala MAIPs’, ‘Bantuan Perubatan MAIPs’ dan juga ‘Bantuan Bulanan MAIPs’, adalah penghidap sakit kencing manis dan darah tinggi.

Hadir mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Menurut Mohd Nazim, seminar berkenaan yang akan disempurnakan perasmiannya oleh Tuanku Raja Muda Perlis merangkap Yang DiPertua MAIPs boleh diikuti secara langsung di aplikasi FB rasmi Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Jabatan Mufti Negeri Perlis dan Suara Sunnah Channel.

Seminar bertemakan “Women in Search of Excellence” ini turut mendapat kerjasama agensi-agensi agama Islam yang lain di negeri ini termasuklah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JAIPs) dan Jabatan Mufti.

Tambah beliau, sesi pertama berjudul ‘Wacana: “Ummahatul Mukminin, Suri Teladan Kecemerlangan Wanita” yang akan disampaikan oleh Pensyarah Kanan UPSI yang juga Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis Prof. Madya Dr. Mohd Rozaimi Ramli.

Sesi kedua bermula jam 10.30 pagi ialah ‘Diskusi Sembang Santai Wanita & Pandemik’ yang akan dikongsikan oleh ahli panelis Dato’ Dr Zaininah Mohd Zain, Dato’ Dr. Jahizah Hj Hassan dan Dato’ Dr. Zaridah Shaffie sehingga jam 12.15 tengahari.

Forum akan disambung semula pada jam
2.15 petang bertajuk “Wanita dan Peranan Kebangkitan Kecemerlangan Ummah Pasca-pandemik” oleh Professor Jabatan Syariah dan Undang-undang, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya Prof Datin Dr. Raihana Haji Abdullah dan Pensyarah Kanan Jabatan Siasah Syar’iah, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya Prof. Madya Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail. Sesi ini akan dimoderatorkan oleh Pegawai Institut Sunnah Dakwah dan Irsyad (ISNAD) Jabatan Mufti Negeri Perlis, Ustazah Nor Faezah Hassan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button