Berita

Risda Wilayah Sarawak salur bantuan lebih RM51 juta

RISDA Sarawak memperuntukkan RM51.02 juta untuk disalurkan kepada 114,171 Pekebun Kecil Getah di wilayah itu.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, peruntukan bantuan itu bagi program Kawasan Bertanam Getah, Aktiviti Ekonomi Tambahan, (AET), Pembangunan Produktiviti dan Agromakanan.

“Program Tanam Semula Getah dilihat mendapat sambutan daripada pekebun kecil setelah bantuan tersebut ditingkatkan kepada RM14,805.00 sehektar berbanding tahun sebelumnya iaitu RM13,500.00 sehektar.

Seluas 1,301 hektar telah berjaya ditanam semula yang memberi manfaat kepada seramai 1,504 orang pekebun kecil di Negeri ini.”

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan RISDA dan Quickwin KEMAS baru-baru ini sempena lawatan kerja tiga hari ke Wilayah Sarawak.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II, Datuk Hasbi Habibollah.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun.

Tambah Mahdzir, seluas 6,163 hektar lagi tanah pekebun kecil yang melaksanakan program tanam semula pada tahun sebelumnya masih diteruskan bantuan pada tahun ini dengan 14 kawasan Tanam Semula Berkelompok (TSB) turut berjaya dibangunkan.

Bagi keperluan prasarana pertanian, KPLB melalui RISDA telah menyediakan 75.1 kilometer jalan pertanian, 67 unit pembentung, 3.2 kilometer sistem perparitan dan dua buah jambatan untuk kemudahan operasi perladangan.

Kesemua bantuan Kawasan Bertanam Getah itu melibatkan peruntukan berjumlah lebih RM19 juta.

Manakala bantuan peningkatan produktiviti getah pula membabitkan kawasan seluas 513.59 hektar dengan peruntukan sebanyak RM300 ribu.

“Bagi tujuan mengimbangkan pendapatan bukan hanya dari sektor getah, RISDA menyediakan Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) di mana seramai 145 orang usahawan pekebun kecil telah menerima bantuan melibatkan peruntukan berjumlah RM1.48 juta dalam pelbagi sektor keusahawanan.”

Program Agromakanan pula yang baharu diperkenalkan pada tahun ini menurut Mahdzir, membabitkan 46 peserta dalam kalangan pekebun kecil yang terlibat dalam program ternakan, tanaman jangka pendek dan jangka panjang.

“Sebagai sebuah kerajaan yang membawa aspirasi Keluarga Malaysia, KPLB turut meneruskan Bantuan Musim Tengkujuh tahun 2021 (BMT 2021) kepada 232,319 orang pekebun kecil RISDA dan 86,323 orang pekebun kecil Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) yang terjejas pendapatan ketika musim tengkujuh,” katanya.

Secara keseluruhannya, RISDA Sarawak menyalurkan RM29.46 juta bagi program BMT 2021 kepada 49,103 pekebun kecil.

Pekebun kecil akan menerima bantuan tersebut pada bulan November dan Disember ini melalui perbankan elektronik terus ke akaun penerima.

Pada majlis yang sama, Mahdzir turut menyampaikan Bantuan Bakul Prihatin kepada 100 orang penerima terdiri daripada pekebun kecil dengan peruntukan sebanyak RM5,000 di salurkan diseluruh Wilayah Sarawak.

Bantuan Program Tanggungjawab Sosial Korporat di bawah Yayasan RISDA itu bagi membantu penduduk luar bandar dan pekebun kecil yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

(Visited 60 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button